Nasional

Jangan tergesa buka sempadan

PETALING JAYA: Bekas timbalan menteri kesihatan Dr Lee Boon Chye menggesa kerajaan mengelak daripada membuat keputusan untuk membuka semula sempadan Malaysia tanpa kuarantin mandatori bagi pengembara.

Beliau berkata sempadan perlu dibuka semula hanya selepas gelombang Omicron dapat dikawal.

Lee juga berkata kerajaan perlu memantau kadar kemasukan hospital dan kematian Covid-19 sehingga bulan depan sebelum membuat keputusan.

Mengulas cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Muhyiddin Yassin supaya sempadan dibuka pada 1 Mac, beliau berkata bekas perdana menteri itu perlu menjelaskan asas syornya.

Lee berkata kerajaan harus lebih proaktif dalam mempromosikan dos penggalak Covid-19 untuk orang dewasa dan vaksinasi untuk kanak-kanak.

Selasa lalu, menteri kesihatan Khairy Jamaluddin berkata gelombang Omicron akan memuncak pada akhir Mac. Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa kes harian Covid-19 dijangka mencecah 22,000 pada masa itu.

Kes meningkat tiga kali ganda sejak awal bulan, meningkat daripada 5,566 pada 1 Feb kepada 17,134 kes semalam.

Bagaimanapun, pakar epidemiologi Dr Sanjay Rampal dari Universiti Malaya bersetuju dengan Muhyiddin untuk membuka semula sempadan Malaysia. Ia akan menjadi jalan ke hadapan dalam hidup dengan virus itu.

“Transmisi varian Omicron telah pun wujud dalam komuniti. Oleh itu, sebarang kuarantin ke atas pelawat yang datang tidak memberi faedah tambahan sekarang,” katanya

“Kawalan sempadan yang ketat dan langkah kuarantin akan berguna untuk menghalang kemasukan varian berbahaya baharu. Bagaimanapun, ia tidak sesuai dan tidak kos efektif pada masa ini.”

Sanjay berkata risiko kesan teruk daripada varian Omicron dalam populasi yang divaksinasi adalah jauh lebih rendah berbanding dengan varian Delta dalam populasi yang tidak divaksinasi sebelum ini.

“Kita perlu mengukur semula persepsi dan tafsiran kita terhadap jumlah kes harian baharu,” katanya. “Sebagai contoh, 40,000 kes harian kini boleh bersamaan dengan 10,000 kes harian tahun lepas.”

Tetapi beliau juga berkata, dalam membuka semula sempadan, kerajaan perlu memastikan kapasiti yang mencukupi untuk aktiviti kesihatan awam seperti ujian, penilaian risiko dan pengasingan kes, pengesanan kontak dan kuarantin.

(Visited 64 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button