Nasional

COVID-19: Mampukah Malaysia catat sejarah halang gelombang kedua?

MARI buktikan pada dunia bahawa kita boleh mencipta sejarah dengan memutuskan rantaian penularan COVID-19 dan menghalang gelombang kedua wabak, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Setelah China dan Korea Selatan kembali mencatatkan kes positif baharu, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab masyarakat untuk memastikan trend yang sama tidak akan berlaku di sini, memandangkan sekarang kerajaan telah melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada PKP Bersyarat (PKPB).

Covid

“Kita perlu bersatu. Jika kita semua memainkan peranan masing-masing, saya pasti kita dapat melakukannya. Malaysia Boleh! ” katanya dalam sidang khbar harian mengenai situasi COVID-19.

Memetik laporan BERNAMA, Dr. Noor Hisham berkata, setakat ini, beliau dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador bahawa pematuhan orang ramai terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah PKPB yang baharu adalah hampir 90 peratus.

“Kita mungkin perlu memberi fokus pada baki 10 peratus. (Tambahan pula) sekiranya industri kita, pasar raya mematuhi SOP, saya pasti kita dapat menurunkan lagi kes ini, ” katanya.

Beliau berkata, usaha memastikan orang ramai mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mencegah penularan virus berkenaan adalah antara enam elemen penting yang dikenal pasti oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mesti dipenuhi sebelum PKP atau PKPB sekarang ini dapat ditamatkan secara rasmi.

Lima elemen lain ialah kawalan sempadan; kawalan pergerakan; keupayaan sistem penjagaan kesihatan negara; kemampuan negara untuk melindungi kumpulan berisiko tinggi; dan amalan kelaziman baharu oleh orang ramai.

Mengulas lanjut, beliau berkata walaupun negara berjaya meratakan lengkungan jangkitan COVID-19, Malaysia dan seluruh dunia masih bimbang mengenai gelombang kedua wabak.

“Apa yang penting, enam elemen telah dikenal pasti. Kita menerapkan keenam-enam elemen ini dan menjadikannya amalan walaupun kita belum merancang strategi keluar lagi,” katanya.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham berkata, KKM kini meninjau untuk mengadakan satu sistem baharu bagi mengurangkan kesesakan di hospital dan klinik awam semasa wabak COVID-19.

Beliau berkata, sistem baharu berkenaan akan meneliti banyak kemungkinan termasuk menambah baik sistem janji temu dan untuk petugas kesihatan pergi ke pesakit dan masyarakat.

“Kami meninjau untuk memperkenalkan sistem janji temu bagi pesakit yang datang (berjumpa doktor) mesti menunggu di dalam kereta mereka terlebih dahulu. Jadi, hanya apabila nama mereka dipanggil, mereka akan masuk.

“Kami mencari banyak idea dan inovasi, (termasuk idea) daripada mereka (pesakit) datang kepada kami, kami pergi ke mereka,” katanya. –BERNAMA

(Visited 220 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button