Nasional

Jangan salah-menyalah isu perkahwinan Illi Najwa, Manpreet

PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) meminta rakyat terutamnya orang Melayu dan Islam tidak mempolimik dengan menyalahkan mana-mana pihak dalam isu perkahwinan wanita Islam, Illi Najwa Anuar Hussin Saddique dengan Ketua Pasukan Hoki India, Manpreet Singh Pawar.

Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, isu tersebut seharusnya diselesaikan dengan baik dan bukannya menyalahkan orang lain seperti pihak Kerajaan, parti politik tertentu atau pun keluarga pengantin.

Zainul Rijal Abu Bakar

Zainul Rijal berkata, isu itu timbul disebabkan kehendak peribadi seseorang dan tidak melibatkan pihak lain.

“Oleh yang demikian, PPMM menyeru agar pengantin perempuan itu bersama suaminya, kembali ke Malaysia dengan kadar segera bagi memberi penjelasan kepada pihak berkuasa mengenai perkara yang ditimbulkan.

“Pada pandangan peribadi saya hukuman bukanlah suatu pilihan yang perlu diutamakan tetapi menyelesaikan perkara ini dengan sebaiknya.

“Remedi perundangan untuk membawa pulang mereka secara paksa mungkin sukar dilaksanakan kerana jika pun benar perkahwinan berbeza agama berlaku, ia dilakukan di India yang membenarkan perkahwinan sedemikian. Kedudukan perundangan di India dalam isu ini berbeza dengan Malaysia,” kata Zainul Rijal dalam satu kenyataan.

Katanya, sehingga kini beberapa fakta masih belum dapat disahkan sama ada melalui dokumen atau pun kenyataan iaitu sama ada pengantin lelaki sudah memeluk agama Islam kerana tiada keterangan yang menyatakan sedemikian.

Persoalan juga timbul sama ada upacara pernikahan menurut agama Islam telah pun dilaksanakan sewajarnya kerana tiada maklumat sedemikian dinyatakan seperti rukun-rukun nikah khususnya berkaitan wali, saksi dan aqad.

“Sama ada pengantin peempuan ini sudah mendapat kebenaran berkahwin dari pihak berkuasa agama di Malaysia menurut undang-undang keluarga Islam negeri yang berkenaan.

“Sama ada upacara perkahwinan yang ditularkan mirip upacara agama Sikh bertentangan dengan Hukum Syarak atau mempunyai ciri-ciri syirik kepada Allah SWT,” kata Zainul Rijal.

Katanya, jika terbukti berlaku perkara yang mensyirikkan Allah, mereka perlu diajak supaya bertaubat dan berjanji tidak melakukannya lagi.

Tegas Zainul Rijal, sekiranya berlaku walau seorang umat Islam yang keluar dari agama Islam, semua pihak termasuk pemimpin, peguasa agama Islam, ibu bapa atau pun muslim di jalanan mesti muhasabah diri kenapa perkara ini berlaku. Seterusnya wajar mengambil tindakan bagi membendung perkara tersebut dari berlaku lagi.

“Sudah sampai masanya kita meneliti kembali sistem pendidikan kita di sekolah dan masjid-masjid, kembali kepada budaya leluhur kita yang mementingkan agama dan adab serta memperkemaskan jatidiri.

“Hal sebegini tidak patut didiamkan dan pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan bagi menyelesaikan isu ini dengan mendapatkan kepastian kepada persoalan-persoalan yang timbul,” katanya.-SM

(Visited 452 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button