Politik

Kabinet Perpaduan: Tengku Zafrul galas tanggungjawab sebagai Senator bagi penggal kedua

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI),  Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, beliau akan menjalankan tugas sebagai seorang Senator dengan penuh amanah dan integriti.

Katanya, beliau akan turut memastikan suara rakyat terus diangkat di Dewan Negara demi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran semua kaum, agama dan bangsa.

“Hari ini, saya telah diberikan amanah untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ahli Dewan Negara bagi penggal kedua.

“Ini adalah sebuah tanggungjawab yang besar, terutamanya ketika Malaysia perlu meneruskan momentum pemulihan kita pasca-COVID-19,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pemilihan dan melantik beliau untuk menggalas tanggungjawab berat yang diberikan.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan pucuk pimpinan parti,” katanya.

Bekas Menteri Kewangan itu yang juga kalah kerusi Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November, baru-baru ini telah dilantik sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar ialah Perdana Menteri  yang ketiga selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menamakan Tengku Zafrul dalam barisan Jemaah Menteri kabinet .
Tengku Zafrul menggantikan bekas Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dari parti Bersatu yang juga kalah dalam PRU15 ketika bertanding di bawah Perikatan Nasional (PN). – BERNAMA – SM
(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button