Politik

Jangan Kaitkan SPRM Sebagai Senjata Politik

Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) tidak seharusnya menimbulkan isu bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijadikan alat untuk menekan ahli politik yang tidak menyokong kerajaan dibawah pentadbiran Perikatan Nasional.

Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Azmir Mohd Nizah, berkata SPRM berhak melakukan siasatan terhadap mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai sebuah badan bebas.

Beliau berkata, ia adalah proses biasa dalam perundangan negara dan seseorang yang disiasat itu masih tidak terbukti bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

“Kenyataan oleh MPPH ini dilihat lebih kepada agenda politik dan tentunya ada tatacara tertentu digunakan oleh SPRM untuk melakukan siasatan malah kes siasatan membabitkan ahli politik bukannya perkara baru di negara ini.

“Sebagai contoh, kes mahkamah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan beberapa pemimpin politik lain termasuk Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri,” katanya.

“Adalah satu perkara yang tidak baik dengan mengaitkan kerajaan menggunakan agensi tertentu untuk mendakwa ahli politik terbabit sekaligus memberikan persepsi negatif kepada agensi yang dimaksudkan sedangkan siasatan dibuat berdasarkan kepada bukti yang ada,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan oleh MPPH.

MPPH dalam kenyataannya kesal apabila agensi-agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus diperalat sebagai senjata politik untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen yang menjadi musuh atau enggan menyokong Perikatan Nasional.

Dr Mohd Azmir berkata, MPPH seharusnya memberikan penekanan atau tumpuan kepada usaha-usaha membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 ini berbanding kepada isu politik semata-mata.

Justeru, beliau menggesa agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan undang-undang dana politik bagi mengelakkan berlakunya salah guna kuasa dalam pengurusan projek kerajaan atau pertubuhan politik di negara ini.

“Ini kerana, isu mengenai agensi kerajaan digunakan untuk menekan ahli politik yang tidak menyokong kerajaan akan terus berulang setiap kali ada ahli politik yang disiasat seolah-olah tiada jalan penyelesaian.

“Cadangan mengenai dana politik ini sudah lama dibincangkan dan sepatutnya dilaksanakan kerana ia mampu membuktikan penerimaan dana dengan lebih telus.

“Dana politik ini memang banyak cuma wujud ketakutan dalam kalangan ahli politik kerana mereka mungkin tidak boleh mengambil kesempatan daripada dana yang diperolehi selain tiadanya kesungguhan atau political will oleh kalangan ahli politik terbabit,” katanya.

(Visited 213 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button