Jenayah

Polis Ipoh rampas heroin bernilai RM16,000 daripada mekanik

POLIS Ipoh berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 1.85 kilogram bernilai RM16,000, daripada seorang mekanik dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Tersusun Sengat di sini, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamed Nordin Abdullah berkata, dalam serbuan pada pukul 6 petang itu, polis terpaksa memecah masuk rumah tersebut selepas suspek yang berumur 40 tahun enggan membuka pintu.

Katanya, hasil pemeriksaan polis di dalam rumah rumah menemukan 32 paket lutsinar mengandungi dadah jenis heroin, yang disorokkan bawah sofa di ruang tamu.

“Siasatan mendapati suspek terlibat dengan penyalahgunaan dadah sejak 2016, mempunyai dua rekod kes narkotik dan menjadikan rumah itu sebagai tempat pembungkusan serta penagihan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamed Nordin berkata, dalam serbuan itu polis turut menyita sebuah motosikal Yamaha LC dianggar bernilai RM5,000, selain merampas beberapa barangan termasuk gunting besi serta alat penimbang digital.

Katanya suspek direman enam hari bermula 17 Jun dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman mandatori gantung sampai mati. – BERNAMA

 

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button