Nasional

Jangan jadikan Islam alat politik demi kepentingan peribadi – Agong

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini menzahirkan peringatan tegas kepada pemimpin masyarakat agar tidak menjadikan agama Islam sebagai alat politik demi kepentingan peribadi.

Baginda bertitah urus tadbir kerajaan mestilah mengikut landasan syariat Islam, bukannya mengikut kefahaman sekular atau liberal.

“Saya ingin mengingatkan agar pemimpin masyarakat tidak mempolitikkan agama Islam untuk kepentingan peribadi. Sebaliknya, mengislamkan politik demi kepentingan negara.

“Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna, mencakupi seluruh aspek kehidupan. Oleh itu, janganlah ada pihak yang tunggang agama untuk kepentingan parti politik mereka atau sebar fitnah, menyebarkan fitnah dan kebencian yang akhirnya memecahbelahkan masyarakat,” titah Seri Paduka Baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di Kuala Lumpur hari ini.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan supaya pentas dakwah dan medan pengajaran agama tidak dijadikan saluran membawa agenda politik kepartian, sebaliknya kekal sebagai ruang memperkukuh perpaduan dan penyatuan ummah.

Sultan Ibrahim turut menitahkan semua pihak perlu menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak sesekali menyalakan api permusuhan atas nama kaum atau agama yang boleh menggugat keamanan negara.

“Nilai perpaduan erat dicapai di negara ini adalah melalui Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan nilai kebersamaan, keadilan kuasa, tanggungjawab dan muafakat.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button