Nasional

Jangan jadi penyumbang kepada kemunculan gelombang baharu Covid-19

SETIAP daripada kita akan menjadi penyumbang kepada kemunculan gelombang baharu Covid-19 jika prosedur operasi standard (SOP) yang ditetatkan oleh kerajaan tidak dipatuhi.

Ini termasuk larangan kunjung mengunjung ketika Syawal ini, tidak dibenarkan bergerak merentas negeri, tiada perhimpunan melebihi 20 orang, tiada majlis kenduri atau perkahwinan, tiada aktiviti riadah beramai-ramai dan lain-lain lagi yang boleh menjadi punca kepada tersebarnya virus ini.

Jika SOP ini tidak dipatuhi dibimbangi akan berlaku peningkatan mendadak kes Covid-19.

Ini sekali gus mengakibatkan gelombang baharu dalam negara sekiranya masyarakat leka, tidak patuh dan ingkar pada SOP.

Kebimbangan itu di suarakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah.

Beliau meminta masyarakat supaya berwaspada dan tidak mengambil mudah walaupun situasi semasa sudah menunjukkan penurunan kes, iaitu hanya 15 kes sahaja semalam, yang terendah sejak  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.

Walaupun jumlah kes semakin menurun itu tidak bermakna peperangan menghadapi virus COVID-19 sudah tamat.

“Kementerian khuatir mungkin akan berlakunya peningkatan kes COVID-19 susulan pergerakan orang ramai melalui aktiviti kunjung-mengunjung, merentas negeri dan pergaulan dalam kalangan masyarakat semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri ini,” katanya pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di Putrajaya.

Wabak Covid-19 ini hanya akan terus dapat diturunkan jika orang ramai kekal patuh pada SOP yang ditetapkan.

Oleh itu katanya, jika mahu menyekat supaya tidak muncul gelombang baharu setiap rakyat negara itu perlu mengekalkan disiplin dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Jika kita mematuhi SOP kita akan dapat mengurangkan lagi jumlah kes, hari ini kita ada 15 kes, enam kes adalah kes import yang bermakna hari ini buat julung kalinya kita mencatatkan satu angka (kes), sembilan kes jangkitan tempatan. Kementerian berjaya menurunkannya bukan hanya kepada dua angka tetapi kepada satu angka,” katanya.

Jelasnya, berdasarkan laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 5,559,130 kes COVID-19 telah dicatatkan di seluruh dunia sehingga semalam (26 Mei).

Daripada laporan WHO itu, gelombang pandemik Covid-19 ini masih serius dengan sebanyak 348,610 kes kematian telah dilaporkan setakat ini.

“Setakat ini, negara Malaysia telah menyumbang kepada 0.14 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dari seluruh dunia,” kata Dr. Noor Hisham.

Beliau turut mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas usaha menyekat kenderaan merentas negeri ketika ini.

Berdasarkan maklumat daripada sidang akhbar Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebanyak 2,449,556 kenderaan telah diperiksa oleh PDRM dari 16 Mei sehingga kini.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 18,303 kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung telah diarah berpatah balik. – SM

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button