Nasional

Jangan cetuskan provokasi politik yang undang mudarat kepada rakyat

AHLI-ahli politik dinasihatkan supaya tidak lagi mencetuskan provokasi politik yang memberi lebih banyak mudarat kepada rakyat.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar.

Menurut beliau, ahli-ahli politik perlu memainkan peranan selaku wakil yang dipilih untuk membantu memudahkan urusan rakyat dan mengurangkan bebanan serta bekerjasama dengan kerajaan untuk melawan Covid-19.

“Pengisytiharan darurat sebenarnya bukanlah satu indikasi bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mahu mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Sebaliknya, tindakan itu sebagai mengambil iktibar atas apa yang terjadi pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang lalu.


“Muhyddin tidak mahu lagi mengambil keputusan politik yang akan memberi lebih banyak mudarat
berbanding manfaat kepada rakyat selaras dengan prinsip hifz al-nafs dalam Maqasid Syariah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, Perdana Menteri juga telah memberi jaminan bahawa PRU akan diadakan sejurus keadaan wabak pandemik di negara ini mulai reda dan pulih sepenuhnya.

Ujarnya lagi, disebabkan itu adalah amat penting bagi semua pihak tanpa mengira prinsip dan ideologi politik untuk mengetepikan seketika tindakan politik dan bersama dengan kerajaan untuk berganding bahu memutuskan rantaian wabak pandemik ini dengan kadar segera.

“Adalah amat penting untuk semua pihak memahami bahawa pengisytiharan darurat ini sama sekali tidak berlawanan dengan prinsip demokrasi negara.

“Pengisytiharan darurat ini hanya bermatlamatkan kepada satu perkara iaitu membendung dan mengurangkan penularan wabak pandemik COVID-19.

“Pengisytiharan darurat ini juga akan memastikan Kerajaan dapat berfungsi dengan lebih baik tanpa sebarang gangguan dan tindakan politik tidak bertanggungjawab daripada mana-mana pihak yang sama sekali menjejaskan usaha untuk mengurangkan ancaman COVID-19 dan memperkukuhkan kestabilan ekonomi negara,” jelasnya. -SM

(Visited 343 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button