Mahkamah

Bapa muda didakwa rogol remaja 15 tahun

SEORANG remaja yang sudah berkahwin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan bawah umur, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Eizhan Shah Abdullah, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun lapan bulan dengan cara menyentuh anggota sulit remaja itu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan dibawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara antara 10 hingga 30 tahun dan juga sebatan atas dakwaan merogol remaja yang sama.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di bilik stor motor lif, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong, Melaka Tengah kira-kira pukul 10 malam, 11 Januari lalu.

Difahamkan tertuduh dikatakan mengekori remaja perempuan itu sebelum bertindak menarik mangsa ke dalam bilik stor bagi melakukan perbuatan terkutuk berkenaan.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah untuk tidak membenarkan jaminan, bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, beliau mencadangkan jumlah RM 50,000.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhamad Syah Azlan Abdullah bagaimanapun merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun itu merupakan penanggung tunggal keluarga.

Katanya, tertuduh juga sebelum ini bekerja sebagai pembantu di kedai peralatan logam, bagaimanapun telah diberhentikan sejak ditahan polis pada awal bulan lalu.

Hakim Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 serta dilarang mengganggu mangsa yang juga saksi pendakwaan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen. – SM

(Visited 2,480 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button