Rencah Hidup

‘Kamu adalah menteri, saya akan jumpa kamu’

“Kamu adalah menteri, saya akan datang jumpa kamu.”

Demikian kata Almarhum Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dikongsikan oleh veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Shahrir berkongsikan pengalaman hubungannya dengan Almarhum suatu ketika dahulu yang pernah menolak kunjungannya ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.

Menurut Shahrir, ketika beliau berada dalam kabinet sebagai menteri itu pada 1984, Almarhum adalah tokoh pertama yang ingin ditemuinya.

Beliau dilihat sangat menghormati dan mengagumi Ungku Abdul Aziz yang juga merupakan bekas Naib Canselor Universiti Malaya (UM).

Almarhum merupakan Naib Canselor paling lama berkhidmat di UM iaitu 20 tahun sejak 1968 hingga 1988.

“Saya masih ingat bagaimana Almarhum enggan menerima kunjungan saya di pejabatnya.

“Sebaliknya menegaskan pertemuan itu diadakan di pejabat saya di Kementerian Wilayah Persekutuan, Wisma PKNS di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

“Sudah tentunya selaku seorang bekas mahasiswa UM, saya tetap mempunyai rasa hormat terhadap seorang Naib Canselor yang mendekati dan menghormati anak-anak buahnya.

“Sungguhpun kami sebagai mahasiswa bagaikan langit dengan bumi dari segi ilmu dan pencapaian.

“Perasaan hormat itu tetap dalam hati saya walaupun sudah berbelas tahun saya meninggalkan UM dan telah berada di dalam Jemaah Menteri negara.

“‘You are the minister. I will come to see you’ kata almarhum kepada saya.”

Demikian dedah bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu dalam satu perkongsiannya hari ini.

Katanya, beliau mahu bertemu dengan Almarhum kerana mahu mendapatkan pandangan mengenai pembangunan warga ibu kota Kuala Lumpur.’

Ini kerana, ketika itu semangat kewargakotaan penduduk Kuala Lumpur tidak begitu kuat dan sentimen pulang ke kampung masih menebal dalam kalangan warga ibu kota.

Selain itu, terdapat pelbagai perkara dibincangkan dengan Almarhum termasuklah isu kemiskinan bandar, sosio-ekonomi dan program larian marathon.

SHAHRIR SAMAD

“Berbagai isu sosio-ekonomi telah kami bincangkan dan akhir sekali, Almarhum sebagai peserta tetap acara tahunan Malay Mail Big Walk telah sarankan penganjuran sebuah larian ‘marathon’ untuk Kuala Lumpur.

“Hujahnya mudah, setiap bandaraya di dunia mempunyai acara larian ‘marathon’ tahunan masing-masing dan Kuala Lumpur sepatutnya juga menganjurkannya.

“Larian KL Marathon yang pertama diadakan sebagai sambutan ulangtahun ke-sepuluh penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Namun, pandangan dan nasihat Almarhum sampaikan kepada saya pada pertemuan itu lagi menguatkan asas pendekatan saya sebagai seorang orang politik.

“Mahupun pembangunan semula kawasan setinggan, perumahan yang sempurna, pembinaan harta dalam kalangan golongan sosio-ekonomi terendah, memperkasakan komuniti dan banyak lagi,” luahnya.

Semalam, Suara Merdeka melaporkan Almarhum Ungku Abdul Aziz menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur pada pukul 4.30 petang.

Ungku Abdul Aziz sinonim sebagai sosok yang pakar dalam hal ehwal ekonomi dan merupakan tokoh penting menubuhkan Lembaga Urusan Tabung Haji dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa). – SM

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka
Back to top button