Berita

Jangan besarkan isu yang boleh jejas keharmonian kaum di Sabah

KOTA KINABALU, 4 Feb — Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah meminta semua pihak tidak membesarkan isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum di negeri ini.

Ini kerana katanya, sejak akhir-akhir ini, ada pihak menimbulkan komen-komen amat sensitif yang boleh menyakitkan hati, menimbulkan provokasi dan permusuhan kaum.

“Kita kekalkan keamanan di Sabah ini. Kita harus akur dan sedar bahawa kita hidup di Sabah ini dikelilingi oleh kaum-kaum lain yang memerlukan kita saling hormat-menghormati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan terhadap Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di sini, hari ini.

Beliau memegang jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah sejak September 2018 dan akan bersara wajib pada pertengahan bulan ini selepas 30 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam pada itu, Omar berkata pendekatan yang beliau ambil dengan mengarahkan semua Ketua Polis Daerah menumpukan lima lokasi aktiviti dadah terbanyak di daerah masing-masing dari segi penagihan serta perdagangan dadah, berjaya mengurangkan aktiviti itu walaupun tidak bersih 100 peratus.

Menerusi pendekatan itu, operasi berterusan dilaksanakan di kawasan tersebut dan kejayaan itu membolehkan Polis Sabah menerima pengiktirafan sebagai kontinjen terbaik di negara ini dalam usaha membanteras dadah pada tahun lepas.

— BERNAMA

(Visited 118 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button