NasionalNegeriUncategorized

Jangan bakar isu perkauman – Raja Perlis

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah supaya mana-mana pihak tidak lagi mencurahkan minyak ke dalam api terutama apabila bangkitnya sebarang isu perkauman yang mampu meruntuhkan semangat perpaduan dalam negara ini.

Baginda turut berkongsi pengalaman peribadi sendiri semasa berkhidmat sebagai Pegawai Tentera apabila ditugaskan dalam Kor Peninjau DiRaja (kini dikenali sebagai Kor Armor DiRaja) ketika negara ketika itu bergelut dengan ancaman komunis, konfrantasi dengan Indonesia serta peristiwa 13 Mei.

Titah Baginda, setiap anggota dalam Kor tersebut pada masa itu adalah campuran pelbagai bangsa serta agama dan mempunyai semangat perpaduan yang amat tinggi untuk bersatu padu bukan sahaja dalam melaksanakan tugasan malahan saling membantu antara satu sama lain setiap masa walaupun waktu di luar tugasan hakiki.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan menerima sembah mengadap hormat Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang di Balai Mengadap Biru, Istana Arau.


Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Indera Noridah Abdul Rahim dan
Ketua Pengarah Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Bahrin A. Kassim.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menasihatkan semua pihak tidak kira asal usul, latar belakang, status tertentu, haruslah sentiasa berusaha untuk saling faham memahami antara satu sama lain.

“Cuba mengenali latar belakang semua kaum bagi menyemai semangat perpaduan yang tinggi untuk lebih bertoleransi,” titah Baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin juga berkongsi kata-kata Presiden Itali semasa Baginda menjadi Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dahulu, di mana Presiden Itali sendiri memaklumkan pada Baginda bahawa mereka amat kagum dengan semangat perpaduan yang tinggi di Malaysia meliputi pelbagai kaum dan agama.

“Mereka melihat kita boleh menjalani kehidupan harmoni bersama dan turut melihat negara Malaysia menjadi satu contoh model yang baik sebagai ‘Mini United Nations’ (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu),” titah Baginda.- SM

(Visited 63 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button