Luar Negara

Lelaki ditemukan mati dengan kesan tembakan di dahi

SEORANG lelaki ditemukan mati dalam keadaan kaki diikat dan mempunyai kesan tembakan di dahi di tepi landasan kereta api, pinggir bandar Bucha, Ukraine.

Mayat yang dijumpai itu ditutup dengan daun-daun coklat yang gugur dan ditemukan beberapa meter dari satu lagi mayat yang berada di kawasan semak.

Lelaki yang mati itu memakai seluar jeans biru dan jaket musim sejuk hitam, pada jarak 100 meter dari tanah perkuburan kecil.

Menurut laporan Reuters, sekurang-kurangnya lima mangsa ditemukan mati dalam keadaan ditembak di kepala.

Bagaimanapun, tidak dapat dikenal pasti mangsa berkenaan dan suspek yang membunuhnya.

“Jangan sentuh mayat itu, Ia mungkin dilombong,” kata seorang anggota polis yang menunjukkan tempat mayat itu berbaring tetapi namanya enggan dikenali.

Bucha yang berada 37 kilometer dari barat laut Kyiv telah diduduki oleh tentera Rusia selama lebih satu bulan berikutan pencerobohan pada 24 Februari ke atas Ukraine.

Bagaimanapun, tentera Rusia yang berundur minggu lalu telah meninggalkan mayat orang awam di jalan-jalan Bucha, bangunan dan ada yang ditanam dalam kubur yang cetek.

Pegawai tempatan berkata lebih daripada 300 orang awam dibunuh oleh tentera Rusia, dan kira-kira 50 daripada mereka dikenakan hukuman mati.

Sementara itu, kerajaan Ukraine telah menuduh Rusia melakukan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang tersebut.

Kremlin bagaimanapun menolak dakwaan itu sebagai propaganda dan berkata tenteranya tidak menyasarkan orang awam.

Duta Besar Rusia untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Vassily Nebenzia memberitahu Majlis Keselamatan pada Selasa bahawa tuduhan yang dibuat itu adalah tidak benar.

Dia berkata, semasa Bucha berada di bawah kawalan Rusia, tiada seorang pun orang awam mengalami sebarang jenis keganasan.

Justeru pada Ahad, Kementerian Pertahanan Rusia mengeluarkan kenyataan mengatakan bahawa semua gambar dan video yang diterbitkan oleh pihak berkuasa Ukraine yang mendakwa “jenayah” oleh tentera Rusia di Bucha adalah provokasi. – SM

(Visited 289 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button