Berita

Jangan abaikan pendidikan walaupun ketika pandemik – Raja Muda Perlis

Pendidikan merupakan salah satu tunjang utama dalam pembangunan sosial masyarakat. Pengabaian dalam soal pendidikan bererti mengabaikan kebajikan masyarakat dan menjejaskan pembangunan sesebuah negeri dan negara. Namun, suasana semasa pandemik Covid-19 yang sedang dihadapi di seluruh dunia telah mengakibatkan kesan besar kepada dunia pendidikan. Cabaran yang dihadapi ini telah menjejaskan kira-kira 1.5 bilion pelajar dan keluarga di seluruh dunia.

Bagi menghadapi suasana ini, kaedah pembelajaran jarak jauh serta perubahan dasar pentaksiran dan peperiksaan telah dilaksanakan di seluruh dunia demi meneruskan kelangsungan proses pendidikan dan pelajaran.

Walaubagaimanapun, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menganggarkan setakat Mei 2021 lalu, sebanyak 40 peratus pelajar yang terbabit dengan penutupan institusi pendidikan di seluruh dunia khususnya sekolah tidak memiliki akses kepada jaringan internet.

Menyedari hakikat ini, sebarang keputusan untuk mengambil kira pembelajaran yang dilaksanakan secara dalam talian, perlu menimbang ketidaksamaan akses pada teknologi sekaligus tidak melebarkan jurang digital di seluruh dunia.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-26 bagi tahun 2021 yang diadakan di Masjid Nurul Mukminin, Kg Alor Ara dekat Arau.


Baginda turut menyampaikan secara simbolik bantuan kepada 29 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan yang diserahkan melalui amilnya Harif Wahab untuk diagihkan. Setiap seorang menerima RM400.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Terdahulu, diadakan simbolik penyerahan ‘Sumbangan CSR Bakul Makanan’ daripada Syarikat Perlis Dolomite Sdn Bhd untuk 200 buah keluarga penerima asnaf terpilih yang dipersembahkan oleh Pengarah Urusannya Puan Sri Yong Norita Ahmad dan disaksikan oleh Tuanku Raja Muda merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

Turut dikongsikan selepas itu ialah info terkini bagi memerangi najis dadah yang disampaikan oleh Pegawai Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis, Mohamad Asri Ahmad.

Foto ihsan MAIPs
(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button