Kesihatan

Jangan abaikan gaya hidup sihat, titah Raja Muda Perlis

Masyarakat diseru supaya jangan alpa dan selesa dengan apa yang kita ada dalam aspek kualiti udara, bekalan air bersih dan nutrisi pemakanan sekarang. Teruskan mengamalkan gaya hidup sihat dan amalan pemakanan yang sihat bagi mengekalkan tahap kesihatan yang baik.

Semua rakyat juga harus terus meningkatkan usaha untuk mengekalkan kesejahteraan persekitaran daripada pencemaran air dan udara. Justeru itu marilah bersama-sama kita menjaga kesejahteraan planet kita ini demi kesihatan semua.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri kempen ‘Perlis Hebat ; Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis serta Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) bagi memperingati ‘Hari Kesihatan Sedunia’ yang disambut pada 7 April setiap tahun baru-baru ini bagi sama-sama meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu semasa kesihatan global.

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada kesempatan yang sama Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim memaklumkan tentang tema yang dipilih pada tahun ini ialah “Our Planet, Our Health”. Kempen pada tahun ini bermatlamat meningkatkan kesedaran masyarakat dunia tentang perlunya mengambil tindakan segera dalam mengekalkan dan melindungi kesihatan serta mitigasi yakni mengurangkan krisis kesan perubahan iklim dunia.

Beliau juga berkongsi bahawa kualiti udara, bekalan air bersih dan nutrisi pemakanan adalah topik utama dalam kempen tahun ini kerana ianya relevan kepada masyarakat dunia selepas mendepani dua tahun yang penuh cabaran ekoran pandemik Covid 19 yang dialami di seluruh dunia. Pandemik ini juga telah memperlihatkan kesejahteraan hidup manusia dan keadaan persekitaran dunia adalah berkait. Kesihatan kita dipengaruhi oleh bagaimana kita menjaga persekitaran bumi kita itu sendiri.

Program tersebut kali ini disekalikan dengan Program Kayuhan MAIPs Peduli bagi menyampaikan agihan zakat MAIPs kepada asnaf Rejab Choh 84 tahun, Sara @ Ramlah Hashim 78 tahun dan Hamid Salleh 77 tahun yang tinggal di rumah mereka di pinggir bandar Kangar. Masing-masing menerima wang tunai, beras dan sekotak bahan makanan mentah. Tuanku Raja Muda turut meluangkan masa singgah meninjau Bazar Ramadan di Bintong pada petang yang sama.

(Visited 274 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button