Nasional

Jangan abai aspek keselamatan ketika menunggang – Raja Muda Perlis

Aspek ‘asas’ keselamatan dalam aktiviti menunggang adalah amat penting apabila seseorang itu berbasikal dan tidak boleh dikompromi.

Pemakaian topi keselamatan dengan cara yang betul bagi melindungi kepala daripada kecederaan dan pemakaian yang sesuai untuk memberi keselesaan dan keselamatan kepada penunggang basikal adalah sesuatu yang wajib.

Periksalah keadaan basikal masing-masing sebelum digunakan supaya sentiasa berkeadaan baik semasa menunggang.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan mengambil bahagian dalam aktiviti berbasikal ‘Kayuhan Arau ke Alor Setar’ yang bermula dari Istana Arau dan berakhir di perkarangan Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ampang Jajar, Alor Setar, Kedah.

Keberangkatan tiba baginda ke program yang dianjurkan oleh Kelab TTG Chapter Negeri Kedah dan mendapat kerjasama daripada pihak PDRM, MADA, Jabatan Pengangkutan Jalan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Veterinar, Risda , dan Kedah Medical Centre itu disambut oleh Pengerusi MADA Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali.

Sejurus berangkat tiba, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan melawat laman rusa, Rumah MAHA, melepaskan ikan-ikan tilapia dan jelawat ke dalam kolam serta menanam pokok ‘Weeping Willow’ sebagai kenang-kenangan sempena kunjungan baginda.

Tuanku Raja Muda yang diiringi 49 peserta lain iaitu sebagai simbolik bersempena ‘Sambutan 50 Tahun MADA : 1970-2020’ dari kalangan ketua jabatan dan agensi negeri dan Persekutuan Perlis turut meluangkan masa singgah di beberapa buah masjid, Menara Alor Setar, Dataran Masjid Zahir, Jeti Pekan Cina dan restoran Cafe Diem sepanjang kayuhan sejauh 50 km tersebut.

(Visited 373 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button