NegeriRencah Hidup

Bayi “ajaib” anugerah tidak diduga pasangan muda di Bintong, Perlis

SUDAH lapan hari berlalu tetapi pukul 8.45 pagi, 19 Oktober lalu pasti menjadi tarikh keramat pada pasangan muda yang tinggal di Bintong, Perlis.

Pada tarikh ini mereka tiba-tiba dianugerahkan bayi perempuan comel yang dianggap sebagai “ajaib” kerana lahir ke dunia tanpa disedari telah membesar di dalam rahim ibunya secara “senyap-senyap”.

Lebih membanggakan kelahiran bayi ini disambut oleh ayahnya yang berani berhadapan dengan saat mencemaskan ini apabila terpaksa menjadi “Pak Bidan”.

Mana tidaknya, ibunya, Nurul Atikah Mustafa, 24 yang merasa perut kembung itu elok sahaja berbaring di atas sofa di ruang tamu rumah mereka pada pagi berkenaan.

Bagaimanapun kata Nurul Atikah sejak malam lagi dia muntah-muntah dan perut berasa kembung (sebu).

Cuma apabila perutnya kembali kembung pada pagi berkenaan, dia baharu merasakan sesuatu yang pelik berlaku pada dirinya bagai petanda mahu melahirkan anak itu dimaklumkan pada suami.

Suaminya Amirul Azizan, 26 berkata, dia terkejut sebab sudah nampak rambut bayi dan akhirnya apabila disuruh meneran beberapa kali maka keluarlah anaknya bagaikan “mengelunsur”.

Nurul Atikah mengakui sebenarnya dia langsung tidak sedar telah mengandung selama sembilan bulan sebaik habis pantang anak sulung kini berusia setahun dua bulan.

“Kewujudan bayi Raiqa Anania bukan langsung tidak dirasai sepanjang tempoh ini kerana perut tidak membesar seperti mengandungkan abangnya, Muhammad Fayyaz,” katanya.

Lebih pelik, sepanjang tempoh itu bukan saja Nurul Atikah tidak ada tanda alahan malah haidnya berjalan seperti biasa pada setiap bulan dan mengambil pil perancang dengan waktu yang tepat.

“Kami pula memang merancang untuk mendapatkan anak dalam tempoh empat tahun lagi,” katanya.

Apapun pasangan ini bersyukur sebab bayi perempuan yang dilahirkan seberat 3.70 kilogram ini sempurna anggota dan sihat. – SM

(Visited 647 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button