fbpx
Sukan

Jaminan keselamatan di Kejohanan Golf Terbuka Bandar Malaysia 2020

POLIS memberi jaminan tahap keselamatan terbaik kepada seluruh pemain golf dan delegasi mereka, sepanjang berlangsungnya Kejohanan Golf Terbuka Bandar Malaysia 2020 yang bermula esok hingga Ahad.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata 88 pegawai dan anggota ditugaskan sepanjang kejohanan itu berlangsung, namun tiada penutupan jalan dilakukan bagi melancarkan pergerakan trafik di kawasan terlibat.

“Pihak penganjur juga akan menyediakan perkhidmatan ‘shuttle’ di kawasan sekitar Kota Permai di sini secara percuma, bagi kemudahan orang ramai ke tempat kejohanan,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Winning Matters Sdn Bhd, Arep Kulai selaku promoter kejohanan golf itu.

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai, khususnya penonton kejohanan tersebut supaya sentiasa memastikan kenderaan yang ditinggalkan berkunci, bagi mengelak berlakunya insiden jenayah.


Sementara itu, Arep berkata susulan penularan virus COVID-19, pihaknya akan menjalankan ujian saringan kesihatan terlebih dahulu kepada setiap pemain, sebelum dibenarkan menyertai pertandingan berkenaan.

“Kami juga menyediakan pembersih tangan di lokasi tertentu dan topeng mulut dan hidung. Malah,  penonton yang hadir juga perlu melalui ujian saringan, di pintu masuk utama,” katanya.

Kejohanan berprestij edisi ke-55 yang berlangsung di Kelab Golf Kota Permai di sini menawarkan hadiah AS$1 juta. – BERNAMA

 

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button