Ekonomi

RM315 juta kukuhkan industri pemula niaga negara

KERAJAAN memperuntukkan sejumlah RM315 juta bagi mengukuhkan industri pemula niaga negara pasca pandemik COVID-19, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata bagi tujuan yang sama, Kementerian Kewangan (MOF) bersetuju memberi peruntukan tambahan kepada Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) sehingga RM100 juta untuk program Kemudahan Bantuan Pembiayaan Pemula Niaga Teknologi (TSFRF).

“Dana RM100 juta untuk TSFRF ini adalah tambahan kepada peruntukan yang telah disalurkan kepada agensi pembiayaan teknologi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sebelum ini dan menjadikan jumlah terkini sebanyak RM315 juta,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) mengenai rancangan dan insentif bagi membangunkan serta mengukuhkan industri pemula niaga negara pasca pandemik COVID-19 terutama untuk belia.

Ahmad Amzad berkata agensi di bawah MOSTI itu adalah Malaysia Debt Ventures Bhd; Cradle Fund Sdn Bhd; MAVCAP; Kumpulan Modal Perdana; dan Malaysian Technology Development Corporation.

Beliau berkata berdasarkan tinjauan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) pada 4 April lepas, hampir 50 peratus syarikat pemula niaga memerlukan RM500,000 hingga RM1 juta untuk memastikan kemampanan perniagaan sepanjang 2020.

TSFRF dilancarkan pada 15 Mei, 2020 dengan menyediakan bantuan kewangan bagi menampung aliran tunai seterusnya mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan syarikat terpilih, katanya.

Beliau berkata ia terbuka kepada semua syarikat pemula niaga teknologi milikan rakyat tempatan atau tenaga kerja majoriti rakyat tempatan atau majoriti pendapatan dijana dalam negara.

TSFRF menawarkan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun tertakluk kepada semakan tahunan serta pengecualian bayaran fi guaman selain tiada fi dan kos tambahan yang harus ditanggung pemohon, katanya.

“Peruntukan ini disalurkan kepada syarikat-syarikat pemula niaga dalam bentuk pinjaman, geran, inisiatif pembangunan kapasiti, sokongan operasi, akses kepada pasaran dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata Cradle Fund turut menawarkan program pembiayaan baharu berbentuk geran bernilai RM26.5 juta tahun ini yang telah bermula pada penghujung Jun, khusus bagi permohonan baharu untuk membantu membiayai syarikat pemula niaga teknologi, mengambil kira isu serta cabaran disebabkan COVID-19.

Ahmad Amzad berkata MAVCAP pula telah melancarkan dua program pembiayaan ekuiti baharu iaitu Lunex bernilai US$10 juta yang memberi fokus kepada syarikat pemula niaga teknologi kewangan serta Asia Greentech Fund bernilai US$20 juta dengan menumpukan pemula niaga teknologi hijau.

Program pembiayaan ekuiti sambungan iaitu SuperSeed Fund II dengan nilai US$10 juta juga akan dilancarkan dalam tempoh terdekat, katanya. – BERNAMA

(Visited 143 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button