Politik

Waytha Moorthy jangka BN, PH gabung bentuk kerajaan

BEKAS Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P. Waytha Moorthy menjangkakan Barisan Nasional akan membuat kerjasama dengan Pakatan Harapan untuk membentuk sebuah kerajaan baharu.

Waytha Moorthy yang merupakan bekas Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) membuat jangkaan tersebut selepas Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan parti itu menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

“Hari-hari mendatang yang sangat menarik. Jangkaan saya, kita akan melihat pembentukan kerajaan baharu dengan Barisan Nasional dan Pakatan Harapan akan bekerjasama membentuk gabungan baharu. Mari kita lihat apa yang akan berlaku,” kata Waytha Moorthy.

Presiden Malaysian Advancement Party (MAP) itu turut melontarkan persoalan sama ada Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin akan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri berikutan kehilangan sokongan daripada UMNO.

Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO petang semalam sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahmad Zahid, berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Beliau berkata, kenyataan terbaru Perdana Menteri tidak menjernihkan masalah, bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas menyanggah titah Seri Paduka dan mempersendakan baginda yang sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahas serta diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi, bukan September 2021, sejajar Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan.-SM

(Visited 519 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button