Nasional

Ipoh bakal terima kemudahan LRT

28 stesen LRT dengan dua laluan bakal dibina

SEBANYAK 28 stesen akan dibina untuk cadangan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Bandaraya Ipoh yang akan meliputi jarak sejauh 58km.

Menurut Draf Rancangan Tempatan Bandaraya Ipoh 2035 yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di laman webnya, sistem LRT yang dicadangkan itu terdiri daripada dua laluan dengan 16 stesen setiap satu, dengan empat stesen biasa atau persimpangan.

Laluan Meru Raya-Ipoh-Batu Gajah sejauh 30km manakala sektor Bandar Sunway-Ipoh-Simpang Pulai sejauh 28km dengan kekerapan perkhidmatan selama enam minit.

Stesen untuk laluan pertama ialah di Meru Raya, Jelapang, Manjoi, Silibin, Medan Kidd, stesen utama, UTC Ipoh, Pasir Puteh, Pasir Pinji, Falim, Menglembu, Pengkalan, Stesen 18, Lahat, Batu Gajah Perdana dan Batu Gajah.

Stesen untuk laluan kedua ialah di Bandar Sunway, Tambun, Ipoh Garden, Stadium, Hospital, Medan Raya, stesen utama, Maju Rapat, Medan Gopeng, Gunung Rapat, Taman Chempaka, Ampang dan Simpang Pulai.

Menurut infografik yang dikeluarkan oleh MBI, perkhidmatan LRT itu akan menghubungkan bandar-bandar utama dalam bandar dan dijangka menjadi mod pengangkutan pilihan penduduk setempat.

Perkhidmatan LRT yang dibahagikan kepada dua sektor iaitu Ipoh Timur dan Ipoh Barat, secara tidak langsung akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilaporkan berkata sebagai permulaan, hab pengangkutan itu akan dibangunkan di tapak seluas 60 hektar berhampiran Stesen Keretapi Ipoh.

Nolee Ashilin berkata selain LRT, hab pengangkutan bersepadu itu akan disokong oleh bas transit, trem dan teksi untuk meningkatkan mobiliti penduduk tempatan dan pelancong.

Bagaimanapun, kos projek dan tempoh pembinaan masih dalam kajian. – SM

(Visited 769 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button