Luar Negara

Jambatan gantung di Gujarat runtuh: 132 maut

SEKURANG-KURANGNYA 132 orang maut apabila jambatan gantung di Gujarat, Barat India, runtuh.

Memetik laporan BBC, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 6.30 petang semalam, waktu tempatan.
Turut dilaporkan, ketika kejadian itu berlaku, kira-kira 400 orang berada di atas jambatan tersebut.

Ratusan orang dilaporkan tenggelam dalam Sungai Macchu.

“Mangsa terkejut dan cuba menyelamatkan diri sejurus jambatan itu putus dan mula tenggelam ke dalam Sungai Macchu,” kata Menteri Dalam Negeri, Harsh Sanghavi.

Sementara itu, Menteri Gujarat, Merja berkata, tiga platun NDRF, 50 anggota Tentera Laut, 30 anggota Tentera Udara, dua anggota dari kumpulan tentera dan tujuh pasukan bomba dari Rajkot, Jamnagar dan Diu dikerahkan ke lokasi kejadian dalam usaha untuk membantu dan menyelamat mangsa.

Beliau juga berkata, setakat ini, mangsa-mangsa ditempatkan di wad-wad pengasingan yang disediakan di Hospital Awam Rajkot untuk rawatan.

Dalam masa sama, Perdana Menteri India, Narendra Modi yang berada di Gujarat dalam lawatan tiga hari menzahirkan rasa sedih dengan tragedi yang berlaku.

Beliau turut mengumumkan pampasan untuk mangsa-mangsa yang cedera serta waris mereka yang meninggal dunia dalam tragedi itu.

Jambatan gantung sepanjang 232 meter yang runtuh itu merupakan destinasi popular pelancong domestik.

Menurut media tempatan, jambatan itu baharu sahaja dibuka semula minggu lepas selepas ia ditutup selama tujuh bulan untuk kerja-kerja pengubahsuaian.

Jambatan gantung itu dibina ketika era pemerintahan British merentasi Sungai Macchu, Bandar Morbi. – SM

(Visited 342 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button