Rencah Hidup

Jalani dialisis tak patahkan semangat Halisah Ashari genggam ijazah kedoktoran

SEMANGAT dan iltizam melangkah ke menara gading tidak hanya terhenti di situ sebaliknya cita-cita untuk menggenggam segulung ijazah kedoktoran yang membawa gelaran Doktor Falsafah (PhD) tidak pernah pudar dari Halisah Ashari.

Hari ini, Dr. Halisah Ashari boleh berbangga dengan kejayaan yang dikecapinya dan tersenyum apabila mengimbas kembali segala rintangan yang diharunginya dalam mengejar gelaran Doktor Falsafah.

DR. HALISAH ASHARI akhirnya berjaya mengenggam Ijazah Doktor Falsafah pada Istiadat Konvokesyen UM Ke-61 di Dewan Canselor pagi semalam

Dr. Halisah bukanlah seperti pelajar biasa-biasa kerana beliau perlu menjalani dialisis.

Pengalaman membawa komputer riba atau laptop semasa menjalani dialisis menandakan ruang waktu selama empat jam bagaikan emas kepada Dr. Halisah.

Itulah yang perlu dilalui tiga kali seminggu oleh Dr. Halisah yang disahkan mengalami masalah buah pinggang pada tahun 2014 dan mula menjalani dialisis pada tahun 2017.

“Saya daftar untuk mendapatkan gelaran Doktor Falsafah (PhD) pada Januari 2013 dan setahun selepas itu, saya dinasihatkan oleh doktor agar menjalani dialisis dan sememangnya masa banyak terbuang untuk rawatan ini,” katanya.

Beliau akui apabila berdepan dengan kesihatan yang merosot, memang membuatkan hampir putus asa dan mahu berhenti daripada pengajian.

Dr. Halisah juga memilih untuk tidak bekerja sepanjang tempoh pengajian PhDnya.

Pun begitu,  ibu tunggal ini bangkit semula dengan mengenepikan segala rasa kesakitan demi cita-cita untuk mengenggam segulung ijazah kedoktoran, PhD.

Disember 2019 mencatat sejarah peribadi buat Dr. Halisah, 57, yang berjaya menyempurnakan tesisnya setelah tujuh tahun bertungkus-lumus.

Dr. Halisah Ashari berkongsi kegembiraan bersama anak tunggalnya, Faris Hidayat.

Masa yang ditunggu tiba juga apabila pagi semalam (5 March 2022), Dr. Halisah dengan lafaz Bismillah, melangkahkan kakinya naik ke pentas untuk menerima Ijazah Doktor Falsafah Perniagaan dan Perakauan (PhD).

Dr. Halisah menerima skrol daripada Canselor Universiti Malaya (UM), Sultan Nazrin Shah pada Siang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-61 di Dewan Tuanku Canselor UM.

Dalam menggenggam ijazah kedoktorannya, pasti kenangan tahun 2012 tidak luput dari ingatannya kerana pada tahun itulah Dr. Halisah menerima Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada universiti yang sama.

“Penat selama ini berulit dengan jurnal, penyelidikan secara pembacaan dan juga turun padang bagi melengkapkan kajian telah berbalas,” katanya.

Anak kelahiran Air Hitam, Pulau Pinang yang kini menetap di Gombak, Selangor mengakui kesibukan sebagai calon PhD tidak pernah membuatkan beliau berasa tertekan.

“Saya akan membaca dan membuat penyelidikan berdasarkan prinsip ‘kalau suka buat, kalau tak suka tinggalkan dahulu’,” ujarnya yang berpegang pada prinsip yang cukup simple.

Dr. Halisah yang juga memiliki Ijazah Sebaran Am (Perhubungan Awam) Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1989 pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar di sebuah kementerian sebaik tamat pengajian.

Kata Dr. Halisah yang mempunyai seorang anak lelaki, Faris Hidayat Kamal Ariffin, 29, beliau kini lebih banyak menumpukan masa pada penyelidikan selain memenuhi masa terluang dengan memasak.

Sejak Oktober tahun lalu, Dr. Halisah berkata, beliau menerima tawaran sebagai penyelidik kontrak di UM.

“Dengan keadaan kesihatan ini saya memang tidak boleh bekerja mengikut kelaziman masa bekerja iaitu 9 pagi hingga 6 petang seperti orang lain,” jelasnya.

Bagaimanapun kata Dr. Halisah, beliau tetap akan menabur ilmu demi anak bangsa.

Sekalung tahniah kepada Dr. Halisah yang menjadi inspirasi kepada golongan hawa di luar sana yang bercita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat paling tinggi. – SM

(Visited 1,058 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button