Analisis

Retak menunggu belah

PAKATAN songsang kerajaan perpaduan hari ini, ibarat retak menunggu belah. Ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercuti dua pemimpin bijak pandai parti itu iaitu Datuk Lokman Nor Adam dan Isham Jalil telah melepas bom.

Lokman mengecam parti gabungan mereka sendiri di dalam Barisan Nasional (BN), MCA sebagai biawak hidup. Gambaran sebagai menggalas biawak hidup ini sangat teruk.

Ibaratnya MCA ini malas untuk bekerja menarik sokongan kaum Cina dan hanya menumpang sokongan kaum Melayu yang diraih oleh UMNO semata-mata. MCA hanya akan menang jika bertanding di kawasan yang majoriti di situ terdapat penyokong UMNO. 

Hal itu menyebabkan Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker naik berang dan bertegas dengan pendirian parti itu untuk tidak mengubah prinsip parti itu sebagai sebuah parti yang memperjuangkan hak kaum Cina dan pada masa yang sama sebuah parti nasionalis.

Bahkan Ti berkata, MCA tidak akan mengorbankan prinsip perjuangan menjadi sebuah parti yang cauvinis serta sosialis liberal seperti DAP hanya untuk mendapatkan sokongan pengundi Cina.

Parti yang terpaling tersakiti dalam hubungan songsang ini adalah MIC, mereka merasakan dipinggirkan dan ibarat parti picisan selepas UMNO bekerjasama dengan DAP dan PKR.

Sepatutnya MCA dan MIC telah lama keluar dari BN dan membubarkannya kerana apabila UMNO berkahwin dengan Pakatan Harapan (PH) mereka sebenarnya berkahwin dengan tiga janda iaitu, DAP, PKR dan Amanah.

DAP mengambil-alih peranan MCA, PKR berperanan seperti MIC dan Amanah yang ditaja atau pecacai DAP berperanan mencabar PAS.

Namun apabila MCA dan MIC kekal di dalam BN mereka kini menjadi picisan dan seperti biawak hidup. Dan dakwaan Lokman itu memang benar walaupun pahit untuk ditelan.

Bubar sahaja BN dan biarkan UMNO yang sedang perasan terpaling hebat itu supaya bertanding atas tiket UMNO sendiri. Ibarat sembang presidennya yang tahap kiyai itu ‘No nego, go solo’.

Penyokong DAP akan menyokong UMNO apa nak dibimbangkan dan begitu juga penyokong UMNO tidak segan silu akan memberi unding kepada DAP.

Bak kata Melayu liberal: Sokong DAP sahaja, bukan tukar agama. Sejak DAP memerintah orang Islam tetap solat lima waktu dan tiada masjid yang diroboh.

Selepas lima tahun, negara ini sudah bersedia untuk diberikan kepada DAP, parti itu akan membentuk kerajaan bersama-sama rakan-rakannya dan UMNO akan go solo sekali lagi.

Tony Phua mengakui perkara itu setelah tidak dapat menahan rasa tidak puas hati dengan para pemimpin UMNO yang menjadi beban kepada mereka terutama presiden UMNO yang mempunyai 47 pertuduhan kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. Itu belum dibuka fail kes kapal LCS.

Isham Jalil yang dipinggirkan selepas terlepas cakap bahawa pilihan raya negeri enam buah negeri ini adalah referundum penolakan terhadap kepimpinan Zahid terus menyinga menyelar DAP.

Isham yang kembali kepada bosnya iaitu Bossku mahu hubungan UMNO dengan DAP dinoktahkan segera dan tidak perlu sehingga tamat penggal pemerintahan kerajaan perpaduan ini.

Lihatlah hasilnya apabila kerajaan yang dibentuk dengan tipu muslihat, akhirnya semuanya terbongkar.

Sudahlah kerajaan hari ini perlu menjadi popular untuk terus berkuasa, hingga mengabaikan tanggungjawab utama mereka iaitu untuk menguruskan negara.

Situasi ekonomi negara semakin buruk yang berpunca daripada krisis kepercayaan di dalam dan luar negara.

Pelabur asing tidak yakin dengan kerajaan yang tidak stabil ini mampu terus berkuasa dan menguruskan negara ini, hingga mereka tidak berani melabur di Malaysia, manakala yang ada dan sudah melabur mula membawa keluar pelaburan masing-masing.

Pada masa yang sama majoriti rakyat negara ini hilang keyakinan terhadap kerajaan yang dilihat tidak mempunyai kemampuan untuk menguruskan negara.

Benarlah pepatah mengatakan ‘Kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan hendak diduga’. Selepas pandemik Covid-19, seluruh dunia berdepan dengan situasi ekonomi yang buruk.

Dengan pengalaman cetek menteri kabinet yang ada mereka tidak akan mampu menguruskan ekonomi negara. Pakar formula Rafizi Ramli juga tidak mampu menghasilkan formula untuk mengatasi masalah ekonomi kini sebagaimana yang dilakukan Tun Dr. Mahathir ketika berdepan kegawatan ekonomi pada tahun 1997.

Dr. Mahathir dijemput ke serata pelosok dunia kerana negara-negara lain mahukan pandangan beliau untuk menangani situasi ekonomi dunia dewasa ini.

Bagaimanapun di dalam Malaysia sendiri Dr. Mahathir dianggap lelaki tua yang nyanyuk dan pikun yang sepatutnya menghabiskan sisa-sisa usianya di rumah orang-orang tua.

Anwar telah mewar-warkan bakal melancarkan naratif dasar ekonomi madani pada Ogos ini. Selepas lapan bulan memerintah kerajaan ini hanya mampu mencipta naratif. Yang bermaksud jalan cerita. Bukannya menghasilkan formula yang sesuai.

Sebab itu sesebuah kerajaan dan pemimpin dinilai dalam tempoh 100 hari pemerintahan, jika gagal ia akan gagal selama-lamanya.

(Visited 670 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button