Nasional

446 kg ganja mampat bernilai RM2.23 juta dirampas

TAKTIK licik yang digunakan oleh penjenayah. Satu pihak akan campak “barang” berkenaan ke laut dan satu pihak lagi akan datang ambil.

Inilah taktik licik atau modus operandi (MO) dalam pengedaran dadah kali ini yang pada mata kasarnya, dapat mengaburi mata pihak penguatkuasa.

KAPTEN SALIZA AHMAD (tengah) menunjukkan ganja yang dirampas pada sidang media di pejabat Zon Maritim Kuala Perlis.

Namun begitu rondaan berterusan menerusi Op Aman bagi membasmi jenayah di lautan berjaya mengesan “barang” tersebut yang elok berbungkus plastik hitam dan terapung di permukaan air.

Kecekapan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis yang menangguk “barang” tersebut berupa 446 kilogram (kg) ganja mampat bernilai RM2.23 juta.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Kedah/Perlis, Kapten Maritim Saliza Ahmad berkata, cubaan menyeludup ganja dari negara jiran berjaya dipatahkan dan dikesan di dua lokasi berasingan.

Kapten Maritim Saliza Ahmad

Lokasi dikesan, kata Kapten Saliza, pada kedudukan 4.4 batu nautika barat muara Kuala Perlis sekitar pukul 10.33 pagi manakala lokasi kedua di 2.2 batu nautika barat daya muara Kuala Perlis pada pukul 11.15 pagi kelmarin.

Kapten Saliza berkata, hasil pemeriksaan ke atas plastik hitam yang terapung di dua lokasi berkenaan, pihaknya menemui 18 guni plastik berisi bahan terlarang.

“Ia mengandungi 446 ketulan ganja mampat dengan anggaran berat 446 kilogram yang bernilai RM2.23 juta,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua ketupan ganja mampat dengan anggaran seberat 1kg setiap satu itu telah diikat dalam bentuk segi empat dan dibalut kemas dengan plastik putih.

Katanya lagi, ini merupakan rampasan dadah terbesar bagi Zon Maritim Kuala Perlis dan juga rampasan terbesar bagi Maritim Malaysia Kedah dan Perlis pada awal tahun ini.

Tambah beliau, Zon Maritim Kuala Perlis percaya ketulan ganja ini cuba diseludup masuk ke Malaysia untuk dijual di pasaran tempatan sekitar negeri-negeri di Utara Semenanjung.

“Hasil analisis merumuskan MO sindiket pengedaran dadah ini beroperasi menggunakan bot fiber dengan enjin sangkut berkuasa tinggi,” jelas beliau.

Kata Kapten Saliza, dipercayai sindiket ini membawa masuk dadah dari negara jiran ke perairan negara dan akan membawa pulang daun ketum melalui perairan Thailand.

“Sindiket ini akan bertindak membuang ganja ke laut jika menyedari kehadiran pihak berkuasa dan meloloskan diri ke perairan Thailand,” katanya. – SM

(Visited 511 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button