
JAKIM Muktamadkan garis panduan penglibatan muslim
JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini dalam proses memuktamadkan garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan, serta penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar, berkata garis panduan ini akan menetapkan batas penglibatan orang Islam dalam perayaan agama lain bagi memastikan ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam.
Menurut beliau, penyertaan umat Islam dalam majlis seumpama itu mestilah tidak melibatkan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam.
“Antara contoh yang perlu dielakkan adalah ucapan atau nyanyian berbentuk propaganda, penyebaran risalah agama lain, serta sebarang persembahan atau ucapan yang boleh menghina atau mempersendakan pegangan agama Islam”katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Selain itu, beliau turut menekankan bahawa majlis yang dianjurkan tidak boleh diadakan pada waktu umat Islam melaksanakan ibadah, seperti ketika azan, solat berjemaah, khutbah, dan solat Jumaat.
“Lokasi majlis juga perlu dipertimbangkan, dengan memastikan ia tidak berhampiran masjid, surau, tanah perkuburan Islam, atau tanah wakaf. Selain itu, premis yang digunakan tidak boleh mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam” tambahnya.
Jawapan ini diberikan bagi menjawab pertanyaan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) mengenai pendirian kerajaan terhadap sambutan perayaan agama lain di premis kerajaan yang turut melibatkan orang Islam.
Mengulas lanjut, Mohd Naim menjelaskan bahawa pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti, selain mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam sekiranya majlis tersebut melibatkan pemimpin atau individu Muslim.
”Garis panduan ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-126 yang dijadualkan berlangsung pada 25 hingga 27 Februari ini.