
JAIPs martabatkan Islam di Perlis
Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) telah dapat melestarikan peranannya sebagai institusi yang bertanggungjawab memartabatkan agama Islam di negeri Perlis. Pelbagai usaha proaktif telah dilakukan, termasuk menjayakan penambahbaikan Garis Panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam pelbagai aspek pengurusan, yang mensasarkan peningkatan keberkesanan operasi dan perkhidmatannya.
JAIPs turut meningkatkan prestasi teguran audit yang sebelumnya berstatus kuning kepada status hijau, mencerminkan komitmen seluruh warga kerja jabatan ini dalam meningkatkan nama baik organisasi. Langkah ini selaras dengan usaha JAIPs untuk memastikan setiap aspek pengurusan dan pentadbiran memenuhi standard kepatuhan yang ditetapkan.
“Sepanjang bertugas di Perlis, suasana ‘Pejabatku, Rumahku’ dapat diwujudkan bagi memastikan setiap kakitangan yang hadir akan menjalankan tugas dengan rasa selesa dan nyaman yang telah menghasilkan prestasi kerja yang baik serta suasana pekerjaan yang harmoni”.
Maklumat tersebut telah dipersembah maklumkan oleh Pengarah JAIPs, Haji Najmuddin Abdul Karim kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam sesi sembah mengadap perpisahan yang diadakan di Galeri DiRaja Arau baru-baru ini.
Beliau telah mula berkhidmat sebagai Pengarah JAIPs pada 1 September 2022 sehingga 15 Januari 2025 lalu dan kini melapor diri di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan atas kenaikan pangkat.
Najmuddin turut memainkan peranan yang penting dalam kerja-kerja ubah suai Kompleks Latihan Islam Perlis dengan kerjasama pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Perlis yang telah diamanahkan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada pihak JAIPs.