Nasional

Jaga-jaga rakam video beraksi di jalan raya

2,350 SAMAN dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dalam Operasi Khas Samseng Jalanan selama seminggu bermula 9 April lalu hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata operasi bersepadu itu turut mengesan dan menahan 42 individu berusia 14 hingga 53 tahun mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jelasnya, dalam operasi khas tersebut, 12,815 individu dan 10,035 kenderaan, termasuk 3,723 motosikal telah diperiksa.

Daripada jumlah berkenaan, 208 kenderaan telah diambil tindakan sita mengikut Seksyen 64 APJ 1987 untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi berkenaan dijalankan untuk mengurangkan isu mat rempit yang sering dikaitkan dengan aktiviti ubah suai motosikal, lumba haram dan aktiviti yang mendatangkan bahaya kepada diri dan pengguna jalan raya lain.


Lebih parahnya dengan adanya trend terbaru, mereka seolah-olah bangga memperlihatkan kejayaan melakukan aksi-aksi berbahaya di sosial media seperti di Tiktok, Instagram dan sebagainya.

“Budaya ini menjadi trend semasa, malah mereka tidak serik walaupun beberapa kali kemalangan dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa atas kesalahan sama,” katanya.

Beliau berkata, fokus operasi itu juga adalah di lebuh raya, khusus mengesan kumpulan penunggang motosikal berkonvoi dan melakukan aksi bahaya seperti yang selalu tular di media sosial.

“Operasi ini akan terus dijalankan dalam memastikan budaya ini dapat dibendung dan dikekang secara serius,” katanya. – Berita Harian – SM

(Visited 47 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button