Banjir

Dua bulan penduduk Kampung Tersang berendam air banjir

KALAU tidak berpindah, pasti warga emas Asiah Mamat, 70, berendam dalam air banjir di rumahnya yang terletak di Kampung Tersang, Rantau Pajang, Kelantan.

Sebenarnya, kata Asiah, sudah dua bulan beliau tidak dapat balik ke rumah kerana air banjir masih belum surut.
Setiap tahun, tidak pernah daerah Rantau Panjang ini tidak dilanda banjir apabila tiba musim tengkujuh.

Sejak November tahun lepas lagi, Rantau Panjang mengalami banjir kerana geografi daerah ini dekat dengan Sungai Golok, Thailand.

Sesiapa yang pernah tinggal di Rantau Panjang pasti tahu keadaan bah di tempat mereka.
Menurut Asiah, ketika ini beliau terpaksa menumpang teduh di rumah anaknya di Tanah Merah kerana sudah berasa letih untuk membersihkan rumahnya yang sering dilanda banjir setiap tahun.

“Jika sebelum ini, apabila air surut saya akan membersihkan kawasan rumah tetapi kali ini saya sudah tidak larat lagi memandangkan usia semakin meningkat.

“Bahkan sejak November tahun lepas lagi, air bah masih belum surut sepenuhnya kerana paras air dari Sungai Lanchang dan Danau Tok Uban melimpah semula akibat hujan lebat minggu lalu,” katanya.

Apabila saban tahun rumah dinaiki air, segala peralatan dapur rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Seorang lagi mangsa banjir di Rantau Panjang, Muhammad Afif Jazimin Ibrahim, 31, berkata, keadaan rumahnya yang sentiasa digenangi air sejak tahun lepas menyebabkan beliau berasa tidak selesa dengan bau busuk yang naik daripada air bening itu.

“Saya sekeluarga sudah lali dengan keadaan ini termasuklah harus menggunakan titi setiap hari untuk keluar masuk ke rumah.

“Malahan saya bina sebuah bilik yang lebih tinggi kedudukannya di dalam rumah meletakkan barang-barang berharga apabila berlaku banjir,” katanya.

Beliau berkata, walaupun sudah biasa dengan keadaan banjir namun rasa letih dan penat tetap ada untuk membersihkan rumah daripada lumpur yang dibawa oleh banjir. – SM

(Visited 116 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button