fbpx
Politik

Jadi TPM bawah Dr. M: Saya hadapi kesukaran yang maha besar untuk menanggung itu

PRESIDEN PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi kesukaran yang amat besar apabila disarankan oleh DAP dan Amanah untuk menjadi timbalan perdana menteri di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Syarat wajib itu diletakkan oleh DAP dan Amanah kepada Anwar sekiranya Dr. Mahathir memangku semula jawatan perdana menteri dalam tempoh enam bulan.

Secara bergurau, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, berapa lama lagi beliau perlu menanggung derita.

“Jangan pandang ringan, ini formula kedua yang dicadangkan oleh kawan-kawan kita, yang tentu saya perlu beri pertimbangan, kawan-kawan yang menyokong saya juga, yang bukan menentang saya.

“Ialah sementara Dr. Mahathir PM saya mesti, wajib terima jawatan TPM di bawah beliau. Dan Saya hadapi kesukaran yang maha besar untuk menanggung itu. Saya bergurau, kawan-kawan saya kata, ni nak suruh saya derita berapa lama lagi, sudahlah saya kata,” kata Anwar dalam video terbaharu yang dikongsi di Facebooknya.


Beliau mengulas mengenai kedudukan terkini gabungan Pakatan Harapan yang dilihat sedang berantakan.

Dr. Mahathir dan Anwar pernah bekerjasama sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sebelum beliau dibuang daripada kerajaan berikutan dakwaan salah laku.

Dalam video itu Anwar juga memberitahu, terdapat sedikit perasaan curiga dalam kalangan Pakatan Harapan untuk memilih semula Dr. Mahathir sebagai perdana menteri.

“Bila kawan-kawan DAP berkata, umpamanya bagi laluan kepada Mahathir enam bulan dan dengan syarat-syarat kita akan tandatangan, kita akan pastikan, maknanya ada juga kecurigaan, kita ada pengalaman.

“Jadi nak kata nak percaya 100 peratus tidak juga. Kita bagi juga janji enam bulan oklah, kita pegang pada janji. Tapi kerana pengalaman, nak tandatangan nak pastikan kalau tak setuju kita akan undur, kita keluar daripada kerajaan kita. Itu semua dibincangkan,” jelas Anwar.

Ketua Pembangkang itu juga menberitahu, Dr. Mahathir dalam beberapa mesyuarat berkeras mahukan jawatan perdana menteri disandang oleh beliau.

Menurut Anwar, Amanah dan DAP menyatakan Dr. Mahahtir diperlukan oleh PH kerana mereka tidak mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk mengambil semula kerajaan.

“Tetapi yang nyata pada tahap ini kita belum cukup jumlahnya. Jadi kawan-kawan kata, kalau begitu Anwar, kalau tak cukup jumlah boleh tak kita fikirkan pilihan kedua iaitu memberikan ruang kepada Dr. Mahathir kerana Dr. Mahathir dalam mesyuarat berulang kali minta dia menjadi PM.

“Mula dia nak 6 bulan, mesysuarat berikutnya dia minta setahun, kemudian bila ditekankan oleh Datuk Seri Shafie Apdal dia setuju 6 bulan, jadi dia tidak mahu bertolak ansur bab itu,” kata Anwar.

Sementara itu Anwar yang juga ketua pembangkang berkata, pertikaian kecil yang berlaku antara PKR, Amanah dan DAP tidak akan melemahkan Pakatan Harapan.

“Kita telah harungi daripada zaman Pakatan Rakyat sekarang Pakatan Harapan. Ini bukan pakatan yang digabung untuk memenuhi keperluan semasa. Nak rebut jawatan Perdana Menteri sekarang nak jatuhkan Perikatan Nasional.

“Perbezaan pendapat yang berlaku seperti sekarang tidak sedikitpun menjejaskan keutuhan. Saya teliti sikap DAP, kenyataan Amanah semalam dan Keadilan. Walaupun ada perbezaan pendapat, soal PH mesti kekal utuh,” jelas Anwar.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button