Nasional

Guna beras import: Restoran mamak tak naik harga

PRESIDEN Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan memberi jaminan, kumpulan restoran India Muslim atau restoran mamak yang beroperasi di seluruh negara tidak akan menaikkan harga menu mereka secara rambang susulan peningkatan harga beras putih import.

Beliau turut memberi jaminan kualiti serta saiz hidangan di premis restoran-restoran mamak membabitkan 12,000 ahlinya akan kekal seperti sebelum ini.

Menurut Jawahar, restoran mereka bergantung kepada beras import sebanyak 80% memandangkan bekalan tempatan tidak mencukupi.

Namun Jawahar menekankan tindakan menaikkan harga mungkin menjadi “pilihan terakhir”.

“Jika margin untung 10%, peningkatan harga beras import mungkin menyebabkan ia menurun kepada 8%.

“Tetapi kita tidaklah rugi,” katanya yang turut menjelaskan Presma menerima penjelasan daripada Bernas berhubung pelarasan semula harga beras putih import.

Pada Jumaat lalu, Bernas mengumumkan harga beras putih import dinaikkan kepada RM3,200 daripada RM2,350 satu tan mulai 1 September, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mydin Ameer Ali Mydin pula berkata, peningkatan harga beras itu akan menjejaskan perbelanjaan isi rumah memandangkan 98% beras import dijual di pasaran dalam tempoh tiga bulan.

Berdasarkan kiraannya, mengambil kira pasaraya menjual 1,000 paket beras 10kg setiap hari, berlaku peningkatan harga dalam lingkungan RM7 atau 22% bagi setiap 10kg.

“Jadi, kalau keluarga berlima makan dua kali sehari, perbelanjaan bulanan membeli beras mereka meningkat kepada RM21,” katanya.

Beliau berkata, terdapat risiko segelintir pemborong atau peruncit menyimpan beras putih dan cuba mengeksploitasi keadaan yang berlaku iaitu peningkatan harga dengan menjual stok lama pada kadar harga baharu.

Ameer menyeru Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana peruncit yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan menjual beras atau stok beras lama pada harga baharu. – SM

 

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button