Rencah Hidup

Yang Senior Pun Kena Buang Kerja Tanpa Notis, Masih Tersenyumkah Sang Junior?

Penulis dihubungi seorang rakan lama yang sudah bekerja di tempat baharu sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.

Menyedihkan di tempat lama penulis dan rakan lama ini, dia sering dijadikan mangsa serangan ketidak puasan hati segelintir pihak.

Apa yang dilakukan, ada sahaja yang tidak kena meskipun dia sudah melakukan sesuatu yang baik pada kemampuan dirinya sendiri.

Dek kononnya berpaksikan pemikiran yang kreatif, dia sering dilabel gagal padahal realitinya, syarikat tersebut tepu dengan orang-orang tua.

Seorang Demi Seorang Anak Muda Berambus

Sepanjang berada di syarikat itu, penulis sempat melihat beberapa anak-anak muda yang berbakat besar berambus seorang demi seorang.

Salah satu sebabnya, syarikat tersebut seolah-olah menjadikan pekerjanya tak ubah sebagai robot atau mesin demi memenuhi keperluan peribadi.

Padahal jika sesebuah syarikat itu mampu memberikan persekitaran kerja yang produktif, rasanya ramai yang ikhlas bekerja untuk ‘keluarga baharu’.

Tetapi sepanjang pengamatan penulis, jiwa ikhlas bekerja itu ibarat langsung tiada. Yang ada cuma kiasan yang memaksa seseorang itu kekal kerana pendapatan.

Tiada pendapatan, matilah.. merangkaklah.. menyesallah seseorang pekerja yang setia kepada syarikat itu yang wujud sejak berpuluh-puluh tahun dahulu.

Namun tidak bagi golongan anak-anak muda ini. Selaras dengan perkembangan zaman, ada waktunya bukan gaji besar yang diharapkan.

Sebaliknya suasana kerja yang produktif atau ‘apabila dilontar idea tidaklah ia dirembat pihak atasan’ menjadi keutamaan golongan muda.

Majikan Buang Pekerja, Merayu Tiada Guna

Bercakap tentang pengecilan bilangan pekerja, tidak dinafikan banyak syarikat melakukan perkara yang sama.

Ada syarikat yang asalnya memiliki beribu pekerja, diberhentikan mereka dengan notis singkat dan yang diserap cuma ratusan sahaja.

Sama juga ceritanya dengan satu tempat yang penulis pernah lalui tersebut. Entah. Seperti tiada satu pun kenangan indah untuk dimemorikan.

Semuanya bagaikan zombi yang bergerak tanpa roh, memastikan cita-cita syarikat yang kabur tercapai dengan jayanya.

Kebanyakan pekerja senior yang setia mencurah idea, jasa dan bakti selama bertahun-tahun diberhentikan dengan alasan masalah ekonomi.

Langsung tiada penyelesaian atau jalan keluar secara alternatif sekali gus menggambarkan syarikat tersebut sama seperti syarikat klise yang lain.

Mendengar cerita itu.. teringat pada rakan-rakan yang pernah berada di sana. Yang pernah bergaduh mulut kerana isu ideologi majikan – pekerja ini.

Apakah nasibmu wahai pekerja yang masih junior? Apakah tragedi yang melanda pekerja senior tidak harus diambil iktibar atau sekadar mengucapkan, “Fuh.. mujur bukan aku yang kena buang!”

P/s : Penulis berprinsip bahawa setiap pekerja adalah individu yang menyediakan khidmat tenaga kerja dan bukannya hamba kepada syarikat. Tolong naik taraf diri sebagai orang berniaga dan tak pernah rancang exit plan dalam hidup yang singkat ini!

(Visited 450 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button