
IYRC ASEAN 2025 Himpunkan 800 Inovator Muda di Johor: Kolaborasi Serantau & Bakat Teknologi Diterajui EduCity
ISKANDAR PUTERI, JOHOR, 14 Jun 2025 – Lebih 800 inovator muda dari tujuh negara ASEAN berhimpun di EduCity Iskandar Malaysia mulai 13 hingga 15 Jun bagi menyertai Pertandingan Robotik Remaja Antarabangsa (International Youth Robot Competition, IYRC) ASEAN 2025 – sebuah platform inovasi rentas sempadan yang mengetengahkan bakat dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, yang menyatakan komitmen Kerajaan Negeri dalam membina kapasiti generasi muda menerusi pemerkasaan teknologi dan inovasi.
Bertemakan ‘Tenaga Hijau’, IYRC ASEAN 2025 mencabar para peserta untuk membangunkan penyelesaian robotik yang mengutamakan tenaga boleh diperbaharui, kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar. Pendekatan ini mencerminkan iltizam ASEAN untuk melahirkan generasi celik teknologi yang proaktif dalam menangani cabaran global berkaitan perubahan iklim dan kelestarian.
“IYRC bukan sekadar pertandingan robotik,” ujar Olivia Ooi, Pengerusi Penganjur IYRC ASEAN 2025. “Ia adalah satu perjalanan penemuan yang menyatukan pendidikan, inovasi, keseronokan, pengembaraan dan pertukaran budaya dalam satu pengalaman bermakna.”
Pihak penganjur turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor, para penaja, guru dan ibu bapa atas sokongan berterusan menjayakan acara berprestij ini.
“Kita sedang membentuk warganegara global masa hadapan. Komitmen terhadap pembangunan belia dan inovasi menjadi pemangkin utama inisiatif ini,” tambah Puan Olivia.
EduCity Pacu Johor Sebagai Hab Inovasi Serantau
Pertandingan ini berlangsung di EduCity Iskandar Puteri – sebuah hab pendidikan dan inovasi bertaraf dunia yang menzahirkan komitmen Johor dalam membina modal insan berkualiti tinggi dan menerajui pembangunan teknologi serantau.
EduCity dibangunkan di atas kawasan seluas 305 ekar, menempatkan tujuh institusi pengajian tinggi dan empat sekolah antarabangsa seperti University of Reading Malaysia, Newcastle University Medicine Malaysia, dan Raffles University Iskandar.
Kemudahan canggih seperti makmal inovasi, Stadium EduCity berkapasiti 30,000, serta kediaman pelajar mewujudkan ekosistem kondusif bagi pembelajaran rentas budaya, penyelidikan, dan kerjasama akademik-industri.
Lebih daripada sekadar platform pertandingan, IYRC ASEAN 2025 turut menawarkan pengalaman menyeluruh kepada peserta dan keluarga – merangkumi pelancongan pendidikan, eksplorasi alam sekitar, warisan budaya Johor serta kulinari pelbagai kaum.
Acara ini bukan sahaja mencerminkan kemajuan Johor sebagai pusat pendidikan dan teknologi, malah memperkukuh kesungguhan ASEAN dalam memupuk bakat belia, memperluas jaringan kerjasama serantau dan memperkukuh transformasi digital secara mampan.