Nasional

Selangor tolak PKP penuh

Kerajaan Selangor menolak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara penuh di negeri tersebut sekiranya diberikan pilihan.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan negeri Selangor bimbang penguatkuasaan PKP yang ketat akan memberi kesan buruk kepada negeri dan rakyatnya.

Menurutnya, kerajaan negeri beranggapan PKP perlu dilaksanakan secara bersasar melibatkan kawasan serangan kluster wabak Covid-19 sahaja.

Beliau berkata, mekanisme dan strategi bagi pelaksanaan PKP perlu ditambah baik bagi memastikan ia mencapai objektif dikehendaki.

“Sekarang (apa yang penting) kita kena ‘defensive’ (bertahan) dan Selangor perlu tingkatkan vaksinasi bagi mengekang penyebaran dalam kalangan komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tidak timbul isu Kerajaan Negeri Selangor tidak mendapatkan kebenaran kerajaan pusat berhubung cadangan pembelian vaksin COVID-19.

Sebaliknya kata beliau, apa yang lebih penting untuk mendapatkan vaksin ialah ia perlu mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Dari awal lagi kita tahu untuk mendapatkan vaksin, dia kena dapat kelulusan NPRA. Itu yang paling penting. Hanya ada tiga vaksin yang diluluskan iaitu Pfizer-Biontech, Sinovac dan AstraZeneca, semua ini juga adalah yang dibekalkan kerajaan kepada rakyat.

“Jadi tidak timbul kita perlu dapat kebenaran. Setelah mereka menunaikan perjanjian mereka dengan kerajaan pusat, bekalan apa yang telah ditempah, barulah mereka dapat melayan kita di peringkat negeri ini,” katanya.

Kerajaan Negeri Selangor katanya, menumpukan kepada syarikat-syarikat industri dan kilang yang dilihat mempunyai keperluan mendesak untuk mendapatkan vaksin COVID-19 untuk pekerja mereka.
Dr Siti Mariah berkata, pembelian vaksin berkenaan akan diberikan kepada kumpulan warga emas di rumah orang tua dan mereka yang benar-benar memerlukan pada ketika ini.
Ketika ini katanya, terdapat lebih sejuta pekerja dalam sektor berkenaan yang berisiko berhadapan dengan jangkitan COVID-19 dan majikan sedia membeli vaksin melalui Kerajaan Negeri Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang turut hadir pada sidang media berkenaan menjelaskan, situasi di Selangor adalah terkawal.

Walaupun jumlahnya tinggi, katanya, peratusan jangkitan lebih rendah jika dibandingkan dengan negeri lain seperti Kelantan dan Pahang.-SM

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button