
“Itu Spender Baharu!”, Demi Keluang Man Nas-T Jadi Bahan Ketawa
DEMI menjayakan watak adiwira ikonik tempatan, Keluang Man, pelakon Nas-T atau nama sebenarnya Nas Muammar Zar tampil berani apabila bersetuju mengenakan ‘seluar dalam’ di muka — salah satu elemen asal dalam kostum watak tersebut.
Situasi itu nyata mencuit hati kru produksi apabila mereka tidak dapat menahan ketawa sepanjang penggambaran, sehingga terpaksa beberapa kali dihentikan sementara.
“Ya, itu memang seluar dalam yang belum dipakai,” kata Nas-T sambil ketawa kecil dalam satu temu bual bersama pihak media. “Awalnya memang rasa janggal dan menggelikan hati sebab ia tampak pelik di wajah. Tapi saya cuba kekal profesional.”
Nas-T turut berkongsi pengalaman lucu ketika makan dengan memakai kostum berkenaan. “Nak makan pun kena selak, sebab kalau buka terus susah nak pasang balik,” katanya sambil mengakui ada rasa tidak selesa namun tetap komited demi menghasilkan karya yang berkualiti.
Filem arahan Anwari Ashraf ini dijadualkan tayangannya pada 29 Mei 2025 dan turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Remy Ishak, Anwaar Beg Moghal, dan Shweta Sekhon.
Keluang Man, adiwira yang mula dikenali menerusi siri animasi popular pada era 90-an, kini diberi nafas baharu dalam versi aksi nyata yang dinanti-nantikan peminat tempatan.
“Ini bukan sekadar nostalgia, ini penghormatan kepada legasi wira kita sendiri,” kata Nas-T yang dilihat serius menggalas tanggungjawab besar memegang watak utama tersebut.
Adakah penonton akan menerima versi baharu Keluang Man dengan seluar dalam di kepala? Kita tunggu dan lihat pada 29 Mei nanti!