Ekonomi

Itali Muncul Rakan Dagang Kelima Terbesar Malaysia di Eropah – MITI

ROM, 3 Julai 2025 – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengesahkan bahawa Itali kini berada di kedudukan kelima sebagai rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan nilai dagangan dua hala mencecah USD3.2 bilion pada tahun 2024.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz, berkata angka tersebut mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat-syarikat Itali terhadap ekosistem ekonomi Malaysia yang terbuka, berdaya saing dan progresif.

“Lebih 80 projek perkilangan melibatkan pelabur Itali dengan nilai pelaburan sebanyak USD442 juta telah dilaksanakan di Malaysia, merangkumi sektor-sektor strategik seperti pemprosesan makanan, kimia, jentera, peralatan, serta aeroangkasa,” katanya.

Tambah beliau, potensi kerjasama ekonomi Malaysia–Itali semakin meluas dalam bidang automotif pintar, semikonduktor, teknologi tenaga boleh baharu termasuk biojisim, solar dan hidrogen hijau, selaras dengan matlamat Malaysia di bawah Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

Tengku Zafrul turut menegaskan bahawa Malaysia bersedia menjadi hab serantau untuk pelabur Itali yang ingin menerokai pasaran ASEAN, memanfaatkan kedudukan strategik negara, infrastruktur bertaraf dunia serta bakat tempatan yang berkualiti.

Kerjasama erat ini dijangka akan terus merancakkan pertumbuhan ekonomi dua hala, membuka peluang pelaburan bernilai tinggi serta memperkukuh jaringan dagang antara Asia dan Eropah.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button