Politik

Mahkamah larang Sanusi ‘sentuh’ perihal akhlak Anwar

Anwar Ibrahim memperoleh perintah injunksi sementara daripada Mahkamah Tinggi Alor Setar untuk menghalang Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor daripada mengeluarkan, mengulangi dan menerbitkan kenyataan yang memfitnah perdana menteri itu di media sosial, laman web dan mana-mana platform lain.

Peguam S.N. Nair, yang mewakili Anwar berkata Hakim Mahazan Mat Taib membenarkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan Pengerusi Pakatan Harapan itu pada prosiding semalam.

“Perintah injunksi itu dikeluarkan bagi menghalang defendan (Sanusi), kakitangan atau ejennya daripada mengulangi atau menerbitkan kenyataan-kenyataan serupa yang mempunyai kecenderungan untuk menggambarkan plaintif (Anwar) sama ada secara langsung atau dengan sindiran dalam mana-mana saluran media sosial defendan, laman web dan mana-mana platform lain.

“Defendan juga harus mematuhi perintah injunksi ex-parte ini dengan serta-merta selepas penyampaian perintah ini kepada defendan,” kata Nair ketika dihubungi hari ini.

Anwar, 75, memohon perintah injunksi itu dalam kes saman difailkannya terhadap Sanusi ketika berucap dalam satu kempen pilihan raya “Jelajah PN Best Tambun” tahun lepas.

Menurut Nair kes saman itu masih menunggu pendengaran pada tarikh yang akan ditentukan oleh mahkamah, namun Sanusi dengan tegas dan tekad mengulangi kenyataan fitnah serupa berkaitan dengan perbicaraan kes jenayah membabitkan Anwar dalam dua ceramah iaitu Jelajah PN Best Negeri Sembilan pada 18 Mac lalu di Nilai, Negeri Sembilan dan Jelajah Selangor Baharu-Selayang pada 11 Julai di Selayang, Selangor.

Katanya, perintah injunksi yang dimeterai itu telah diserahkan kepada peguam yang mewakili Sanusi hari ini pada 12.30 tengah hari.

“Kesannya, Sanusi dilarang daripada mengulangi, mengeluarkan dan menerbitkan kenyataan-kenyataan dalam apa-apa ceramah, acara, temu bual, penulisan atau penerbitan dalam media terhadap perdana menteri (Anwar).

“Sekiranya beliau (Sanusi) mengulangi perbuatan sama dan melakukan pelanggaran terhadap terma perintah injunksi interim itu, ia akan dianggap sebagai menghina mahkamah dan akan dihadapkan kepada prosiding menghina mahkamah serta bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi,” kata Nair.

Menurut peguam itu, Sanusi diberi amaran keras supaya mematuhi terma perintah injunksi interim tersebut dan sekiranya gagal, beliau akan dikenakan tindakan undang-undang.

Pada 13 Dis tahun lepas, Anwar menyaman Sanusi, berhubung ucapan berbaur fitnah mengaitkannya dengan perlakuan tidak bermoral dalam satu kempen ceramah “Jelajah PN Best Tambun”.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta telah memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

Menurut plaintif kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov tahun lepas.

Sanusi dalam pernyataan pembelaannya menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa niat jahat dan memfitnah Anwar, sebaliknya mengkritik Ahli Parlimen Tambun itu bagi tujuan kempen Pilihan Raya Umum ke-15.

(Visited 406 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button