Nasional

Isu vaksinasi: Perbanyak penerangan saintifik guna data KKM

SESI penerangan secara saintifik menggunakan data Kementerian Kesihatan (KKM) perlu diperbanyakkan pihak berwajib bagi menangani isu vaksinasi dalam kalangan murid sekolah dan ibu bapa.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini kerana terdapat pengetua dan guru besar membangkitkan sikap segelintir ibu bapa yang masih enggan membenarkan anak mereka divaksinasi.

Beliau berkata, keadaan itu tentunya mengundang risiko jangkitan, bukan hanya kepada murid atau pelajar yang tidak divaksin, tetapi juga guru dan murid yang telah menerima dua dos vaksin dan dos penggalak.

“Sehubungan itu, mereka meminta agar kerajaan mewajibkan pengambilan vaksin kepada pelajar bagi menyelesaikan masalah ini.

“Sebagai Pengerusi MPN, saya mengambil maklum semua perkara yang dibangkitkan,” katanya dalam catatan Facebook, semalam.


Kerajaan katanya lagi, tidak mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 ketika ini.

Muhyiddin berkata, beliau berpeluang menemui kira-kira 300 warga pendidik yang terdiri daripada pengetua dan guru besar serta pimpinan Persatuan Ibu Bapa dan Guru dalam Majlis Dialog Pengerusi MPN Bersama Warga Pendidik di Kota Tinggi, Johor.

Dalam majlis itu, beliau berkongsi tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika negara dilanda pandemik Covid-19 termasuk menempah bekalan vaksin dan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Muhyiddin berkata, beliau juga mendengar pandangan dan cadangan dibangkitkan warga pendidik termasuk isu keupayaan kerajaan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dalam talian di sekolah, cabaran guru dalam era pandemik selain vaksinasi dalam kalangan murid dan ibu bapa.

“Saya yakin dan percaya pengalaman mengajar dalam era pandemik Covid-19 menjadikan guru dan pendidik di negara ini sentiasa bersedia berhadapan cabaran baharu dalam bidang pendidikan pada masa akan datang,” katanya. – SM

(Visited 40 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button