Uncategorized

Isu tambang: 13 syarikat bas ekspres diarah beri maklum balas terhadap surat tunjuk sebab

Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada 13 buah syarikat Bas Ekspres atas kesalahan menaikkan harga tambang bas ekonomi sempena musim Perayaan Aidilfitri 2025.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak lima (5) syarikat telah diberikan Surat Tunjuk Sebab Kedua, termasuk dipanggil ke Ibu Pejabat APAD untuk memberikan keterangan lanjut dan bukti tambahan.

Pengeluaran STS ini adalah hasil daripada pemantauan APAD terhadap kenaikan tambang bas ekspres yang melibatkan sebanyak 101 buah syarikat bas ekspres dan 371 buah kenderaan.

Pemantauan tertumpu kepada lapan (8) laluan utama yang merangkumi empat (4) terminal utama, iaitu Terminal Larkin, Terminal Bersepadu Selatan, Terminal Penang Sentral dan Terminal Kuala Terengganu bagi tempoh perjalanan bermula 15 Mac 2025 sehingga 6 April 2025.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) APAD yang bersidang pada 15 Mei 2025, dua (2) syarikat telah didapati menaikkan harga tambang bas ekspres menjelang musim perayaan.

Kedua-dua syarikat ini telah dikenakan tindakan oleh pihak APAD, iaitu sebuah syarikat diberikan Notis Amaran kerana bukti yang dikemukakan menunjukkan kenaikan harga tambang yang bersifat nominal, manakala sebuah lagi telah digantung operasinya selama 14 hari kerana gagal menjawab Surat Tunjuk Sebab Kedua.

Selaras dengan Nilai Teras Malaysia MADANI, iaitu Kesejahteraan dan Kemampanan yang memfokuskan kepada keterhubungan mobiliti dan aksesibiliti rakyat melalui jaringan pengangkutan awam yang berkualiti, selamat
dan selesa, APAD akan meneruskan pemantauan terhadap operasi syarikat bas ekspres dari semasa ke semasa, terutamanya pada musim perayaan bagi mencegah sebarang kenaikan harga tambang melebihi kadar siling yang dibenarkan.

Selain itu, APAD juga akan memantau tahap pematuhan syarikat bas ekspres terhadap keperluan perkhidmatan,
termasuk ICOP Keselamatan. APAD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas, termasuk  menggantung Lesen Pengendali, sekiranya didapati melanggar syarat lesen. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button