Politik

Dr. Sahruddin mahu teruskan agenda bangunkan Bukit Kepong

PAGOH 3 Mac – “Tiada sebab pengundi di DUN Bukit Kepong menolak saya,” ujar calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14).

Menurutnya, pengundi di Bukit Kepong harus menilai apa yang telah dibawanya kepada penduduk di situ sepanjang tempoh menjadi wakil rakyat di DUN berkenaan.

“Mereka telah lihat apa yang telah saya berikan dan mereka juga telah melihat bagaimana saya bekerja.

“Sewaktu menjadi Menteri Besar Johor ke-17 selama 10 bulan saya tidak pinggirkan sebarang bentuk bantuan kepada rakyat selain pembangunan yang diwujudkan.

“Justeru saya berharap penduduk di DUN Bukit Kepong memilih saya semula selaku wakil rakyat dan sebagai calon nombor satu, undilah saya,” ujarnya.

Kerusi DUN Bukit Kepong menyaksikan pertandingan empat penjuru.

Dr. Sahruddin akan berdepan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamad; Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat MUDA; Nurafiqah M. Zulkifli dan Penyelaras Pejuang Parlimen Muar, Md. Taib Md. Suhut.

Menurut Dr. Sahruddin, jika diberi kepercayaan untuk dipilih sebagai wakil rakyat di situ, beliau akan meneruskan agenda pembangunan rohani dan jasmani yang telah dibawa oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pagoh.

Katanya, banyak lagi infrastruktur akan dibangunkan di Bukit Kepong demi memberi keselesaan kepada penduduk di sini.

Ditanya peluangnya untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi pada 2018, Dr. Sahruddin berkata, beliau akan terus berjumpa penduduk seramai mungkin bagi menyakinkan mereka.

“Kalau ikut perkhidmatan yang saya berikan sebelum ini masyarakat tentunya dapat menilai kemampuan saya dan memilih saya agar kekal lagi.

“Saya merayu kepada penduduk di Bukit Kepong untuk memilih saya semula,” ujarnya. – SM

 

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button