Bola SepakSukan

Isu Sumareh perlu ditangani cara berhemah, bukan emosi

SEJAK beberapa minggu kebelakangan ini, kecoh isu Mohamadou Sumareh yang didakwa gagal mematuhi kontraknya bersama skuad Pahang dan bertindak meninggalkan pasukan itu untuk beraksi bersama kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 September lepas.

Perbuatan tidak hormat pemain skuad kebangsaan itu juga telah membangkitkan kemarahan peminat bola sepak tanah air khususnya penyokong tegar Tok Gajah yang berpendapat pemain kelahiran Gambia itu tidak mengenang budi Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) yang telah banyak berjasa membantu Sumareh sehingga mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Budi yang ditabur itu juga membolehkan pemain berusia 26 tahun tersebut beraksi di pentas antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya.

Keadaan menjadi bertambah buruk apabila Sumareh didakwa sengaja mempersendakan skuad Tok Gajah dengan hantaran format grafik (GIF) gelak ketawa di laman Instagramnya yang ternyata telah menyemarakkan lagi api kemarahan peminat bola sepak tempatan.

Ekoran insiden tersebut, ada yang menggesa kerakyatan Sumareh ditarik balik. Itu yang kita dengar di pihak peminat dan pasukan Pahang, namun, dalam masa sama Sumareh juga perlu diberi ruang untuk mempertahankan keputusannya meninggalkan skuad Tok Gajah.

Selain itu, pemain sayap tersebut harus diberi kesempatan untuk menjelaskan mengapa dia melakukan hantaran sedemikian di Instagram dan apakah niat sebenarnya berbuat demikian.

Untuk bertindak tergesa-gesa sehingga mencadangkan kewarganegaraannya ditarik balik, bukankah itu satu keputusan yang melulu dan terlalu menurut perasaan.

Kita semua ada akal dan budi bicara, lagipun kes Sumareh telahpun dibawa sehingga ke badan induk bola sepak dunia, FIFA.

Seeloknya kita tunggu sahaja keputusan FIFA, sebelum menjatuhkan sebarang hukuman yang hanya akan merugikan bola sepak tanah air.

Janganlah kerana nyamuk seekor, habis kelambu hendak dibakar. Bukankah lebih elok jika kita menyelesaikan kemelut ini seperti menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus, tepung pun tidak berselerak. Kemelut yang berlaku adalah antara Sumareh dan PBNP, bukan membabitkan skuad kebangsaan.

Memang benar ada budi yang terhutang, disebabkan jasa PBNP memperjuangkan hak Sumareh sehingga berjaya mewakili skuad bimbingan Tan Cheng Hoe. Tetapi biarlah usaha itu tidak dipersiakan begitu sahaja, sehinggakan skuad kebangsaan pula yang menjadi mangsa diatas kekhilafan Sumareh ini.

Untuk berlaku adil, biarlah hukuman yang sewajarnya diputuskan oleh FIFA dan bukannya di atas landasan emosi kita yang terlalu menurutkan hati yang amarah.

Malah, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga telah menyatakan pendirian mereka untuk menghormati apa sahaja keputusan yang bakal dibuat FIFA kelak. Janganlah disebabkan kemelut ini, Malaysia kehilangan pemain berbakat besar seperti Sumareh.

Jika dilihat dari sudut positif, ada baiknya menyaksikan Sumareh beraksi bersama kelab luar negara, demi masa depan bola sepak tanah air.

Skuad Harimau Malaya kini telah memiliki lebih ramai pemain yang beraksi di liga luar. Selain Sumareh, kita juga boleh berbangga dengan dua pemain muda negara, Safawi Rasid (Portugal/Portimonense) dan Luqman Hakim Shamsudin (Belgium/KV Kortrijk) yang kini berkelana di Eropah.

Jangan pula kita lupa beberapa lagi pemain yang turut beraksi bersama kelab asing antaranya Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Jepun/Fagiano Okayama), Norshahrul Idlan Talaha (Thailand/BG Pathum United), Dominic Tan (Police Tero), Mohamad Iqbal Ali (Jepun/Roasso Kumamoto) dan Quentin Cheng (Australia/Central Coast Mariners Academy).

Justeru masalah yang sedia ada eloklah tidak dikusutkan lagi dengan cadangan-cadangan yang terlalu menurut emosi kerana masih ada cara lain yang lebih berhemah untuk kita keluar daripada apa sahaja kemelut yang terjadi. – SM

(Visited 261 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button