Hiburan

Isu rumah tangga Sharnaaz Ahmad, Noor Nabila selesai dengan baik

Kemelut antara Sharnaaz Ahmad dan bekas isterinya, Noor Nabila akhirnya selesai selepas kedua-dua mereka sepakat dengan tiga tuntutan yang dimeterai dalam perjanjian penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Tuntutan yang dimeterai melalui surat ditandatangani kedua-dua pihak itu membabitkan nafkah edah, hadanah atau hak penjagaan dan nusyuz.

Peguam yang mewakili Nabila, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata persetujuan itu telah dibuat melalui beberapa proses mediasi yang telah bermula sejak awal tahun ini.

Menerusi tuntutan itu, Sharnaaz bersetuju memberi nafkah edah kepada Nabila sebanyak RM500 selama tiga bulan dan nafkah anak sebanyak RM1,200 sebulan.

Selain itu, hak penjagaan anak turut diberikan kepada Nabila termasuk memberi kebenaran kepada Sharnaaz berjumpa anak mereka serta tuntutan nusyuz turut dibatalkan.

Dalam pada itu, Nabila juga bersetuju mengetepikan tuntutan mutaah kecuali sebuah rumah di Taman Tun Dr Ismail yang dipindah milik kepadanya.

“Saya lega semuanya selesai dengan baik,” katanya.

Sharnaaz juga meluahkan rasa syukur kes berkenaan akhirnya selesai dan mencapai kata sepakat.

Pasangan itu berkahwin pada 31 Mac 2017 di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, namun bercerai secara hakam pada 9 Julai lalu. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden kini berusia dua tahun. -SM

(Visited 714 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button