Ekonomi

Isu Petronas-Petros akan diselesaikan pendekatan menang-menang, Abang Jo

KUCHING: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memaklumkan beliau telah menerima panggilan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu berkaitan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) serta hak Sarawak dalam sektor minyak dan gas.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan komited untuk menyelesaikan isu itu dengan pendekatan menang-menang antara kedua-dua pihak.

“Dalam isu minyak dan gas ini, adalah kita bermain ‘bola’ sikit-sikit dengan PETRONAS.

“Pada masa ini, saya pasti anda telah mengikuti perkembangan semasa berkaitan isu ini.

“Namun, kita akan menyelesaikan perkara ini. Malah, Perdana Menteri telah menghubungi saya pagi tadi (Sabtu) dan kami mencapai komitmen bersama untuk menyelesaikannya.

“la merupakan satu pendekatan menang-menang antara pihak kita dan juga PETRONAS,” katanya ketika sesi Sarawak Agenda Townhall sempena Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) Edisi UK 2025 di London, pada Sabtu, lapor Utusan Borneo.

Abang Johari ketika menghadiri sesi Sarawak Agenda Townhall sempena LBAS Edisi UK 2025 di London. Turut kelihatan, Fazzrudin selaku moderator sesi town hall itu.

Abang Johari berkata, penyelesaian tersebut akan berlandaskan keikhlasan dengan prinsip bahawa hasil minyak dan gas negara harus dikongsi secara adil.

Beliau menambah, Sarawak telah memainkan peranannya dengan bertanggungjawab walaupun tanpa pendapatan tambahan sejak Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dilaksanakan.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu, fokus utama kerajaan Sarawak pada masa ini ialah memperkukuh asas ekonomi negeri khususnya dengan sokongan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak yang menyediakan simpanan sebanyak RM8 bilion.

Jelas beliau, apabila ekonomi Sarawak mencapai tahap kestabilan yang kukuh, hasil daripada pertumbuhan tersebut akan dapat disalurkan kepada rakyat melalui pendekatan pembangunan ekonomi yang tersusun dan menyeluruh merangkumi semua sektor.

“Apa yang sedang kita usahakan kini ialah memperkukuh asas ekonomi negeri.

“Setelah ekonomi kita benar-benar kukuh, maka hasilnya akan dapat disalurkan kepada rakyat melalui pendekatan ekonomi yang tersusun dalam semua bidang,” katanya.

Terdahulu, kira-kira seramai 230 orang pelajar di United Kingdom, Jerman dan Perancis telah menyertai program LBAS Edisi UK 2025.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr. Annuar Rapaee dan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS) Dato Ibrahim Baki.

Turut hadir, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato Fazzrudin Abdul Rahman selaku moderator sesi town hall itu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button