Nasional

Isu pembalakan: Kerajaan Negeri Pahang perlu terima teguran

KERAJAAN Negeri Pahang diminta menerima teguran daripada pakar berhubung aktiviti pembalakan yang menyebabkan banjir buruk berlaku berikutan kekurangan kawasan tadahan hujan.

Walaupun kerajaan negeri sebelum ini menafikan isu pembalakan menjadi punca kepada banjir dan melakukan pembalakan mengikut had dibenarkan.

Namun, itu tidak mengurangkan risiko negeri pantai timur itu dilanda banjir teruk berikutan hujan lebat beberapa hari sehingga menyebabkan beberapa daerah negeri itu dan lebuh raya ditenggelami air.

Justeru, satu tindakan drastik perlu diambil termasuklah mengambil tindakan terhadap aktiviti pembalakan haram yang berlaku di negeri itu bagi mengelakkan kejadian banjir buruk berulang.

“Kepada kerajaan negeri Pahang, tolonglah jangan terlalu defensif sebegini.


“Para-pakar di universiti yang memberi teguran ini pastinya ikhlas niatnya dan bersandarkan kajian-kajian saintifik dan ilmiah.

“Apakah layak mereka diketepikan dengan hujah-hujah separuh masak sebegini?

“Harapan kami hanyalah agar kerajaan negeri bertegas akan isu-isu penggondolan dan pencerobohan hutan oleh taikun-taikun yang dianggap kebal ini.”

Demikian kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya dalam hantara Facebooknya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian mengulas penafian dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang yang mendakwa penggondolan hutan menjadi punca kepada banjir.

Untuk makluman, banjir besar di Pahang pernah berlaku sebelum ini melibatkan limpahan air Sungai Pahang dan beberapa sungai lain seperti di daerah Temerloh dan Kuantan.

JALUR GEMILANG
AMINUDDIN YAHAYA

Limpahan air sungai tersebut pernah menenggelamkan beberapa kawasan utama seperti Gambang, pusat bandar Kuantan, bandar Temerloh serta pekan Mentakab.

Dalam pada itu, Aminuddin turut meminta Kerajaan Negeri Pahang terus memberikan perhatian terhadap aktiviti pencerobohan tanah bagi tujuan pertanian.

Termasuklah seperti yang berlaku di Raub apabila ribuan ekar tanah hutan simpan dijadikan kawasan penanaman durian musang king oleh pengusaha tidak bertanggungjawab.

“Isu Musang King Raub pun kerajaan ‘dibuli’ oleh mereka, tetapi masih boleh bersikap angkuh dan ego terhadap mereka yang menghulurkan tangan ingin membantu kalian.

“Kali ini, pakar-pakar universiti menghulurkan tangan membantu dengan kajian-kajian dan syor-syor mereka juga kalian bersikap dingin sebegini.

“Tidakkah kita insaf melihat rakyat di kampung-kampung menanggung derita? Apakah perasaan apabila turun padang melawat mangsa-mangsa banjir?

“Ingatlah, kuasa itu hanya sementara dan ia akan disoal di akhirat kelak,” ujarnya. – SM

(Visited 209 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button