Nasionalpilihan

Isu peletakan jawatan saya tidak berbangkit, ada kepercayaan majoriti – PM

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan dia menerima sejumlah surat akuan daripada Ahli-Ahli Dewan Rakyat dan masih mempunyai kepercayaan majoriti.

Menurut Muhyiddin, beliau juga telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong ketika menghadap pada pukul 11 pagi tadi.

“Sehubungan itu, peletakan jawatan saya di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan adalah tidak berbangkit.

“Namun, saya juga sedar bahawa kedudukan saya sebagai Perdana Menteri seringkali dipersoalkan.

“Maka, saya telah menyembah maklum kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Suatu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September,” katanya dalam sesi pengumuman yang disiarkan secara langsung hari ini.

Menurut Muhyiddin, melalui cara tersebut barulah kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Jelasnya, cadangannya itu juga telah mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan
terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.

“Saya akan memastikan program vaksinasi yang sedang berjalan pada masa ini tidak akan terganggu dan terus dilaksanakan mengikut jadual.

“Begitu juga bantuan-bantuan yang telah diumumkan oleh kerajaan akan dapat diterima oleh rakyat tanpa sebarang halangan.

“Saya menyeru kepada semua penjawat awam, khususnya para frontliners, agar terus tabah melaksanakan tugas dan tanggungjawab anda tanpa terganggu dengan kemelut politik yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu yang cuba menangguk di air yang keruh,” katanya.

Jelasnya, beliau juga sedar terdapat kelompok yang kurang senang dengan ketegasannya untuk
tidak melayan beberapa tuntutan mereka.

Ujarnya, ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.

“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja
Berperlembagaan,” katanya.

Tambahnya, beliau tidak akan mengorbankan prinsip saya dan membelakangi sumpah jawatan saya untuk menunaikan segala kewajipan dengan jujur, menumpahkan taat setia kepada Raja dan Negara serta memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

Terdahulu, Muhyiddin turut memaklumkan dia menerima warkah daripada YDPA yang memaklumkan kepada saya terdapat lapan orang Ahli Parlimen UMNO telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat bahawa mereka telah menarik sokongan kepada saya.

“Di dalam warkah ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memetik dua peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Pertama, Perkara 43 (2) (a) iaitu: Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai
Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli
Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan
majoriti ahli Dewan Rakyat. dan

“Kedua, Perkara 43 (4) iaitu: Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli
Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan
Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan
oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Tambahnya, sehubungan itu beliau telah menghadap YDPA pada pukul 11 pagi tadi. -SM

(Visited 256 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button