Nasional

Isu mohon pekerja asing: KSM larang campur tangan pihak ketiga

Kementerian Sumber Manusia (KSM) melarang sebarang campur tangan pihak ketiga untuk menyelesaikan masalah berkaitan permohonan kuota pekerja warga asing yang dihadapi majikan.

Menurut KSM dalam satu kenyataan, hari ini, campur tangan pihak ketiga hanya akan merumitkan proses permohonan itu, selain terdedah kepada salah laku seperti rasuah atau kebocoran maklumat berkaitan sehingga menyebabkan kelewatan dalam proses berkenaan.

“KSM cakna dan memahami akan permasalahan di lapangan, malah berupaya menguruskan isu dihadapi majikan berkaitan permohonan kuota pekerja asing ini dan melaksanakan inisiatif terbaik untuk menyelesaikan masalah berkaitan.

“Namun, hal ini sentiasa diputar belit dan dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Oleh itu, majikan dinasihatkan supaya terus berhubung dengan KSM bagi sebarang permasalahan dihadapi dalam memohon pekerja asing,” menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan itu lagi, KSM sentiasa terbuka kepada sebarang input diberikan mana-mana pihak dalam usaha menambah baik dan memudahkan proses permohonan kuota pekerja asing.

Majikan yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Bahagian Pengurusan Pekerja Migran KSM ([email protected]) melalui talian 03-88852939/2940 atau Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia ([email protected]). – SM

(Visited 234 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button