AgamaNasional

Isu LGBT, hina agama: JPM (Hal Ehwal Agama) ambil tindakan lebih tegas

JABATAN Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force hari ini bagi menangani isu LGBT mewujudkan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Selain JAKIM, mesyuarat task force tersebut turut disertai oleh agensi-agensi lain iaitu Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuki Shaary berkata, mesyuarat telah bersetuju untuk melaksanakan tindakan yang tegas secara bersepadu dalam menangani isu mempromosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial.

“Mesyuarat hari ini turut bersetuju untuk melaksanakan tindakan dengan segera satu lagi isu iaitu penghinaan agama secara umum. Ini menunjukkan komitmen penuh kerajaan dalam menangani masalah-masalah ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat  task force akan mengambil langkah mengenalpasti masalah dan kekangan yang dihadapi oleh pihak penguatkuasa dalam melaksanakan penguatkuasaan bersepadu.

Hasil mesyuarat itu juga mencadangkan pindaan kepada Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 560) dan undang-undang tatacara jenayah syariah di negeri-negeri bagi membolehkan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan terhadap mana-mana orang Islam yang menghina agama Islam dan melakukan kesalahan jenayah syariah lain dengan menggunakan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi.

“Menghasilkan satu SOP atau garis panduan bertulis secara komprehensif dan menyeluruh mengenai tatacara mengendalikan aduan bagi kesalahan-kesalahan yang berkaitan penghinaan agama dan promosi gaya hidup LGBT,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Katanya lagi, Jun dianggap sebagai bulan Gay Pride di mana gerakan LGBT di seluruh dunia termasuk di negara ini sedang mempromosikan gaya hidup mereka secara terbuka, sama ada melalui perarakan atau media massa teramsuk media sosial.

“Justeru kita mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status atau grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosikan gaya hidup LGBT,” kata beliau.

Beliau menambah, di media sosial tertentu misalnya, tiada tapisan langsung terhadap kandungan video-video yang berkaitan dengan hubungan sejenis yang giat disebarkan.

Sexual grooming terhadap kanak-kanak bawah umur yang didakwa telah dilakukan oleh seorang transgender di media sosial individu itu, yang mungkin boleh menjurus kepada perlakuan pedofilia, tidak pula diperjuangkan oleh kumpulan aktivis LGBT.

“Ia menunjukkan betapa mereka bersikap double standard hanya kerana memperjuangkan isu secara terpilih yang menguntungkan pihak mereka,” selar beliau. – SM

(Visited 263 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button