Politik

Zahid tidak tulis ‘Amanat Ahmad Zahid Hamidi’

‘Amanat Ahmad Zahid Hamidi untuk semua ahli UMNO’ yang tersebar di media sosial bukan ditulis oleh Presiden UMNO tersebut.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, artikel panjang yang memuatkan tuduhan bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia merancang untuk terus berkuasa bukan amanat daripada beliau.

“Ingin saya menegaskan bahawa artikel itu tidak ditulis oleh saya mahupun dengan kebenaran saya tetapi dilakukan oleh orang lain yang tidak diketahui individu berkenaan,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid meminta agar pihak terbabit memanfaatkan sepenuhnya kedatangan Ramadan untuk meningkatkan amal ibadah dan bukannya menabur fitnah serta mengamalkan politik tidak matang.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menyarankan mereka yang mahu mendapatkan kenyataan rasmi daripadanya agar memperolehinya daripada media sosial rasmi milik beliau di Facebook dan Telegram.

“Saya menyedari saban hari pelbagai fitnah dilakukan pihak tertentu bagi mengkucar-kacirkan situasi politik semasa serta memburuk-burukkan UMNO.

“Saya berharap pihak yang melakukan perkara ini menghentikan segera perbuatan politik jahat,” kata AHmad Zahid.

‘Amanat Ayahanda Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada semua ahli UMNO’ disebarkan dalam media sosial semalam.

Semakan mendapati amanat palsu itu turut dikongsi oleh individu yang menyokong kepimpinan UMNO.

Amanat palsu itu antara lain memuatkan tuduhan bahawa beberapa pemimpin Bersatu sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa.

“Dengarlah baik baik apa yang hendak saya sampaikan dari Meja Presiden. Hakikatnya, tidak ada siapa diantara ahli Umno yang mengetahui apa yang akan dilakukan PPBM khususnya Tan Sri Mahiaddin, Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin untuk kekal berkuasa pada hari hari yang akan datang.

“Kesanggupan mereka melampaui batas, dalam merancang, demi mencemarkan imej saya dan Umno. Oleh itu, dengarlah dengan teliti amanat kata kata saya ini dan sampaikanlah ia kepada ahli ahli yang masih belum menerima amanat saya ini.

“Sesungguhnya, serangan politik 2021 Covid 2.0 pada parti UMNO dan diriku ini, memperlihatkan pengkhianatan ahli dan rakan seperjuangan, penyalahgunaan kuasa mahkamah, fitnah hasutan, rasuah politik (politik wang) dan pengunaan risikan (intipan) untuk kegunaan agenda politik tertentu,” antara yang ditulis dalam petikan awal amanat palsu berkenaan.-SM

(Visited 704 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button