Nasionalpilihan

ATM terima 50 buah ambulans domestik baharu

KEMENTERIAN Pertahanan (MINDEF) hari ini menerima 50 buah ambulans baharu bagi kegunaan perkhidmatan kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kenderaan yang diterima hari ini merupakan sebahagian daripada lebih 130 ambulans yang diperlukan bagi menggantikan aset yang sudah usang sebelum ini.

Unit Ambulans Domestik Perkhidmatan Kesihatan ATM yang baharu

“Ambulans ini diimport sepenuhnya memandangkan kenderaan yang ada dalam perkhidmatan kita sekarang semuanya sudah lama, tak sesuai digunakan lagi.

“50 ambulans baharu ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan untuk kita memperbaharui jumlah ambulans yang diperlukan dalam perkhidmatan.

“Ini merupakan kumpulan pertama, insya Allah kita akan buat pesanan baharu bila keadaan kewangan bertambah baik,” kata Mohamad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan 50 Ambulans Domestik Perkhidmatan Kesihatan ATM kepada Panglima-Panglima Perkhidmatan di Kem Kementah, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Muez Abd. Aziz, dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Seri Affendi Buang.

Seterusnya, Mohamad berkata, kesemua ambulans yang ditempah itu berdasarkan keperluan mendesak semasa pandemik Covid-19 menyerang negara, tiga tahun lalu.

“Keperluan ambulans pada ketika itu merupakan sesuatu yang amat mendesak.

“Ketika itu terlampau ramai pesakit yang terpaksa dibawa ke hospital atau pusat-pusat kuarantin sehinggakan tiada kenderaan lagi untuk digunakan,” katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan

Jelasnya, kumpulan pertama ambulans yang diterima hari ini merupakan Kelas B yang dilengkapi dengan peralatan perubatan bergerak untuk menstabilkan pesakit sebelum dibawa ke hospital.

“Kenderaan ini sudah cukup bagus dan baik, ada doktor dan penolong pegawai perubatan yang boleh duduk sama.

“Luas, besar kenderaan ini dan ia satu kenderaan yang sempurna dan boleh mempertingkatkan mutu perkhidmatan perubatan ATM,” katanya lagi. – SM 

Artikel berkaitan > LIMA’23 sasar kontrak perolehan sehingga RM8 bilion

(Visited 295 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button